'Sudah jangka DUN bubar awal, PKR buka bilik gerakan utama' - AMK Johor

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sudah jangka DUN bubar awal, PKR buka bilik gerakan utama' - AMK Johor
PKR sudah membuka bilik gerakan utama di Jalan Serampang Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan perkembangan politik semasa dan isyarat yang diberikan oleh kepimpinan kerajaan negeri.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad berkata, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian malam ini.

"Di peringkat kepimpinan negeri dan AMK, jangkaan bahawa PRN Johor akan diadakan lebih awal sudah dibuat sejak Menteri Besar Johor mengumumkan pada 16 Mei lalu bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia bertanding di semua 56 kerusi DUN negeri itu.

“Kita sebenarnya sudah menjangkakan PRN Johor semakin hampir dan persiapan telah digerakkan lebih awal. Jentera parti berada dalam keadaan siap siaga,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan pada Isnin, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada sebelah pagi.

Faezuddin berkata, AMK berharap agar lebih ramai calon muda diberikan ruang dan peluang untuk mewakili parti pada PRN.

Pada masa sama, katanya, bilik gerakan utama PKR Johor di Jalan Serampang telah mula beroperasi sejak dua minggu lalu sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya.

“Sudah tentu pimpinan utama parti akan turun padang termasuk Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi menyelaras gerak kerja jentera,” katanya.

Tambah beliau, sayap AMK dan Wanita PKR juga telah mengenal pasti calon-calon berpotensi dan senarai nama akan diserahkan kepada kepimpinan parti untuk dinilai sebelum keputusan muktamad dibuat.