
PRESTASI MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) merupakan antara episod paling mencabar dalam sejarah politik kedua-dua parti berkenaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
MCA berdepan kemerosotan sokongan apabila hanya memenangi dua kerusi Parlimen daripada 44 kerusi yang ditandingi, iaitu di Ayer Hitam dan Tanjong Piai.
Keputusan itu mencerminkan cabaran besar dihadapi parti itu dalam usaha mengekalkan pengaruhnya, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.
Bagi MIC pula, keputusan PRU15 lebih mencabar apabila gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang dipertandingkan.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai masa depan MIC serta keupayaan parti itu untuk terus memainkan peranan sebagai wakil masyarakat India dalam landskap politik negara.
Prestasi kurang memberangsangkan pada PRU15 turut mencetuskan perbincangan mengenai hala tuju kedua-dua parti, termasuk desakan supaya MCA dan MIC menilai semula kedudukan dalam BN selepas gabungan itu mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tersebut.
Namun, keputusan MCA dan MIC untuk terus kekal dalam gabungan BN dilihat sebagai langkah strategik yang mula menunjukkan hasil positif selepas kedua-dua parti itu mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam landskap politik yang semakin berubah, keputusan untuk mempertahankan kerjasama lama bukan sesuatu yang mudah, terutama selepas kedua-dua parti komponen itu melalui tempoh mencabar akibat perubahan corak sokongan pengundi.
Namun, perkembangan terkini menunjukkan kekuatan gabungan masih menjadi faktor penting dalam memastikan MCA dan MIC kekal relevan dalam politik negara.
Pada PRN Johor ke-16, MIC muncul antara parti paling cemerlang apabila mencatat kemenangan sempurna selepas memenangi kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Pencapaian itu menjadikan MIC satu-satunya parti yang merekodkan kadar kemenangan 100 peratus dalam kalangan semua parti yang bertanding pada PRN berkenaan.
Lebih menarik, MIC turut mencipta kejutan apabila berjaya merampas dua kerusi yang sebelum ini menjadi milik Pakatan Harapan (PH), iaitu Perling dan Bukit Batu.
Kejayaan tersebut bukan sekadar menambah jumlah kerusi BN, malah memberi isyarat bahawa parti itu masih mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi di kawasan bandar dan separa bandar.
Bagi MCA pula, keputusan PRN Johor turut membawa nafas baharu selepas parti itu memenangi lapan kerusi DUN, mengatasi pencapaian DAP yang hanya memperoleh enam kerusi.
Keputusan itu menjadi pencapaian penting buat MCA sebagai rakan kongsi UMNO dalam BN selepas melalui beberapa siri pilihan raya yang menyaksikan sokongan terhadap parti berkenaan merosot.
Kejayaan MCA di Johor membuktikan parti itu masih mampu menjadi pilihan pengundi apabila mempunyai strategi, calon dan jentera yang tersusun.
Lebih penting, pencapaian MCA dan MIC menunjukkan persepsi mengenai kemerosotan sokongan terhadap kedua-dua parti itu tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti politik semasa.
Dalam politik pilihan raya, kekuatan organisasi, pengalaman serta kemampuan mendekati pengundi masih menjadi faktor utama yang menentukan kemenangan.
Prestasi positif MCA dan MIC turut dapat dilihat dalam PRN Negeri Sembilan apabila kedua-dua parti itu berjaya menyumbang kepada kemenangan BN.
Selepas bertahun-tahun tidak bertanding di peringkat negeri, MCA berjaya kembali ke DUN Negeri Sembilan menerusi kemenangan dua kerusi di Chennah dan Repah.
Kemenangan itu sekali gus membantu BN mencapai keseluruhan 18 kerusi DUN di negeri berkenaan.
Perkembangan tersebut membuktikan keputusan MCA dan MIC untuk terus bersama BN memberi ruang kepada kedua-dua parti membina semula kekuatan selepas berdepan cabaran politik.
Sekiranya kedua-dua parti memilih untuk meninggalkan BN atau bergerak secara bersendirian, sudah pasti peluang untuk mendapatkan semula sokongan pengundi mungkin menjadi lebih sukar.
Ini kerana realiti politik Malaysia hari ini menunjukkan pertandingan secara solo semakin mencabar dengan persaingan yang melibatkan gabungan besar.
Kerjasama dalam BN memberikan MCA dan MIC akses kepada jentera pilihan raya yang lebih luas, selain membolehkan penyelarasan strategi dengan parti komponen lain.
Pada masa sama, BN juga mendapat manfaat apabila mempunyai wakil daripada pelbagai kaum yang mampu menarik sokongan lebih menyeluruh.
Jika MCA dan MIC terus diberikan ruang bertanding serta mampu mengekalkan prestasi seperti di Johor dan Negeri Sembilan, tidak mustahil kedua-dua parti itu mampu memberi saingan lebih sengit kepada parti lawan termasuk DAP.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, keputusan MCA dan MIC untuk terus kekal bersama BN disifatkan sebagai langkah pragmatik bagi memastikan kelangsungan politik kedua-dua parti itu dalam landskap politik negara yang semakin memihak kepada kekuatan gabungan.
Beliau berkata, momentum kemenangan BN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan gabungan politik masih mempunyai nilai strategik dalam memastikan parti-parti komponennya kekal berdaya saing.
“Berdasarkan momentum kemenangan BN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, kekal dalam BN merupakan pilihan yang lebih pragmatik.
Landskap politik Malaysia kini lebih memihak kepada gabungan berbanding parti yang bergerak bersendirian.
“Cabaran bertanding di luar BN amat besar. Kedua-dua parti berdepan penyusutan sokongan dan jentera jika bergerak secara solo.
“Tanpa kekuatan jenama BN serta kerjasama dengan parti komponen lain, peluang untuk menang adalah jauh lebih sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sivamurugan berkata, keputusan kekal dalam BN juga memberi ruang kepada MCA dan MIC untuk terus memainkan peranan dalam rundingan politik, termasuk berkaitan pembahagian kerusi serta hala tuju gabungan itu.
“Dalam jangka pendek, ya. Ia memastikan kedua-dua parti terus relevan dalam proses membuat keputusan, rundingan pembahagian kerusi dan pentadbiran.
“Keluar daripada BN ketika ini berisiko mengecilkan lagi pengaruh politik mereka,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, MCA dan MIC akan berdepan laluan lebih sukar sekiranya memilih untuk meninggalkan BN dan bertanding secara bersendirian.
Menurut beliau, sistem pilihan raya first-past-the-post yang diamalkan di Malaysia memberikan kelebihan kepada parti yang mempunyai gabungan lebih luas, selain mampu mengelakkan perpecahan undi dalam pertandingan pelbagai penjuru.
Katanya, MCA dan MIC yang bertanding secara solo bukan sahaja perlu bersaing dengan parti seperti DAP dan PKR bagi mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu, malah turut berdepan persaingan daripada UMNO, PN dan parti lain untuk undi Melayu.
“Kemenangan MCA di kerusi campuran seperti Chennah misalnya lebih mudah dijelaskan melalui gabungan calon, jentera BN dan pemindahan undi antara etnik, bukannya kekuatan MCA secara bersendirian.
“Malah strategi BN-PN di Negeri Sembilan secara terang-terangan bertujuan mengurangkan pertandingan berbilang penjuru dan perpecahan undi,” katanya.
Mengulas sama ada keputusan kedua-dua parti untuk kekal dalam BN mampu menyelamatkan masa depan politik mereka, beliau berkata, istilah yang lebih tepat adalah ia memberikan ruang untuk pemulihan, berbanding menyifatkannya sebagai langkah menyelamatkan parti.
“Bagi MCA, Johor dan Negeri Sembilan telah memberikan sesuatu yang sangat penting iaitu bukti kemenangan.
“Parti yang terlalu lama tidak mempunyai kerusi akan kehilangan relevansi, jentera dan generasi pelapis.
“Kemenangan membolehkan MCA sekali lagi mengatakan kepada pengundi bahawa undi kepada MCA bukan sia-sia,” katanya.
Bagi MIC pula, beliau berkata empat kemenangan parti itu di Johor memberikan rangsangan besar, namun prestasi di Negeri Sembilan menunjukkan proses pemulihan parti berkenaan masih belum stabil.
“BN memberikan MIC platform politik yang lebih selamat tetapi parti itu masih perlu memulihkan kepercayaan pengundi India secara langsung.
“Dalam jangka panjang, MCA dan MIC tidak boleh bergantung hanya kepada undi pindahan UMNO, sebaliknya mesti membuktikan bahawa mereka sendiri mampu membawa sebahagian signifikan pengundi Cina dan India kembali kepada BN,” katanya. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.
The post Sudah tiba masa MCA, MIC cari semula tapak politik appeared first on Utusan Malaysia.



![[TIDAK RASMI] DAP menang di Bukit Kepayang, Lobak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/01/3602361.webp)


