Sudahkah kita berkorban?

Opinion
26 May 2026 • 10:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sudahkah kita berkorban?
Aidiladha mengajar manusia tentang nilai keikhlasan, ketaatan dan kesanggupan meletakkan perintah ALLAH SWT mengatasi segala-galanya. Foto hiasan

AIDILADHA bukan sekadar perayaan tahunan yang diraikan umat Islam di seluruh dunia, sebaliknya membawa makna pengorbanan yang cukup besar dalam kehidupan manusia.

Jika Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa, Aidiladha pula mengajar manusia tentang nilai keikhlasan, ketaatan dan kesanggupan meletakkan perintah ALLAH SWT mengatasi segala-galanya.

Umum mengetahui Aidiladha mempunyai kaitan rapat dengan kisah agung Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. Kisah itu bukan sekadar cerita yang diulang setiap kali tiba musim korban, tetapi menjadi lambang sejauh mana seorang hamba benar-benar taat kepada penciptanya.

Bayangkan seorang ayah yang terlalu lama menanti kehadiran cahaya mata, akhirnya diuji pula dengan perintah yang cukup berat. Nabi Ibrahim AS diperintahkan ALLAH SWT untuk mengorbankan anak kesayangannya sendiri. Lebih mengagumkan, Nabi Ismail AS juga menerima ketentuan itu dengan penuh reda dan keikhlasan.

Hakikatnya, semangat pengorbanan itu masih sangat relevan dalam kehidupan hari ini. Persoalannya, sejauh mana kita sanggup berkorban demi agama, keluarga dan masyarakat?

Ada yang sanggup berkorban masa demi mencari rezeki halal buat keluarga. Ada ibu bapa yang mengorbankan kesenangan hidup demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik. Tidak kurang juga individu yang berkorban tenaga dan wang ringgit membantu golongan memerlukan tanpa mengharapkan balasan.

Namun dalam dunia serba moden hari ini, pengorbanan sering dilihat dari sudut material semata-mata. Sedangkan pengorbanan paling besar ialah melawan kehendak diri sendiri.

Menahan amarah, membuang sifat ego, menjaga hubungan sesama manusia dan istiqamah melakukan kebaikan juga merupakan satu bentuk pengorbanan yang besar nilainya di sisi ALLAH SWT.

Aidiladha mengajar manusia bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Pengorbanan melahirkan sifat sabar, membentuk jiwa yang lebih bersyukur serta mendidik manusia agar lebih memahami erti kasih sayang dan keprihatinan.

View Original Article