Sukan Olimpik Paris 2024 sepatutnya menjadi yang pertama menawarkan perkhidmatan teksi terbang Volocopter. Tetapi kerana isu dengan pihak perbandaran, ia kini telahpun ditangguh. Dengan Olimpik Paris akan berakhir malam ini, tumpuan diberikan kepada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. Antara yang menarik mengenai acara ini kelak ialah akan menjadi Olimpik “nir-kereta” pertama dengan kesemua venue sukan kelak hanya boleh diakses menggunakan pengangkutan awam.

Ini adalah bagi mengikuti langkah Paris dimana kesemua venue acara boleh diakses menggunakan kereta api bawah tanah, kereta api komuter, bas dan tram. Dengan ini Los Angeles yang akan menjadi tuan rumah untuk kali ketiga akan turut menjadi acara sukan yang lebih lestari.
Antara langkah yang bakal diambil ialah menawarkan 3000 bas tambahan semasa acara berlangsung selama 17 hari. Seterusnya syarikat yang beroperasi di Los Angeles akan diminta memberikan pelepasan bekerja dari rumah kepada kakitangan. Dengan kedua-dua langkah ini isu kesesakan jalan raya yang sinonim dengan Los Angeles dapat dielakkan pada 2028 nanti.

