Sukar Untuk Malaysia Sokong Lembaga Keamanan Trump Jika Tiada Jaminan Untuk Gaza – PMX

WorldPolitics
23 Jan 2026 • 5:25 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (22 Januari), Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah melancarkan Lembaga Keamanan (Board of Peace) bagi menangani krisis di Semenanjung Gaza.

Dia juga menyatakan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk turut menangani krisis di luar wilayah itu.

Menurut Reuters yang memetik pegawai di White House, setakat ini 30 pemimpin dunia yang menyatakan komitmen untuk menyertainya, termasuklah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Saudi Arabia, Turkiye, Pakistan dan Indonesia.

Namun Norway dan Sweden memutuskan menolak jemputannya, manakala Menteri Ekonomi Itali Giancarlo Giorgetti, menyifatkan penyertaan dalam lembaga tersebut bermasalah.

Baca Artikel Berkaitan: Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Gesa Trump Pastikan Israel Ikut Perjanjian

Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Bakal Ambil Alih Gaza Demi Ekonomi & Dibina Sebagai Tempat Tinggal ‘Penduduk Dunia’

Baca Artikel Berkaitan: Cadangan Trump Pindahkan Penduduk Gaza Adalah Satu Bentuk ‘Pembersihan Etnik’ – PBB

Malaysia Sukar Beri Dukungan Awal Kepada Lembaga Keamanan – PMX

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Malaysia sukar untuk memberi dukungan awal kepada Lembaga Keamanan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa masih belum ada jaminan yang jelas terhadap nasib rakyat Gaza dan Palestin dengan penubuhan lembaga itu.

Anwar turut menegaskan perlunya ada jaminan bahawa serangan di wilayah itu dihentikan sepenuhnya dan bantuan kemanusiaan disambung semula.

“Kita agak sukar, melainkan ada jaminan yang betul-betul baik dan tegas soal rakyat Gaza dan Palestin, pengiktirafan, menghentikan sama sekali serangan ganas dan biadab oleh rejim Israel dan memulihkan bantuan kemanusiaan.

“Ini belum dilakukan. Jadi, kita sukar untuk memberikan dukungan awal,” katanya dipetik Berita Harian.

Trump Akan Kerjasama Dengan PBB, Tangani Krisis Di Luar Gaza Juga

Ketika melancarkan Lembaga Keamanan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland, Trump telah menyatakan komitmen bagi memastikan Gaza ditadbir dan dibangunkan serta bebas daripada pasukan tentera.

Malah dia juga dilaporkan berkata akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk turut menangani krisis di luar wilayah itu.

“Ia rancangan yang hebat dan di situlah Lembaga Keamanan benar-benar bermula. Dan saya berpendapat kita boleh pergi ke isu lain selepas berjaya di Gaza,” kata Trump yang juga pengerusi lembaga itu di luar WEF yang dihadiri puluhan pemimpin dunia.

“Ia akan menjadi perkara yang hebat untuk disaksikan. Dan kita boleh melakukan perkara lain. Kita boleh melakukan banyak perkara lain. Sebaik sahaja lembaga ini dibentuk sepenuhnya, kita boleh melakukan apa sahaja yang mahu dilakukan, dan kita akan melakukannya bersama-sama PBB,” ujarnya.

Dokumen asas lembaga itu telah ditangani oleh wakil dari pelbagai negara, namun butiran mengenai mandat lembaga serta piagamnya belum tersedia.

Sebagai info, negara jiran, Indonesia, sudah pun mengesahkan penerimaan jemputan Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan tersebut semalam (22 Januari).