
KUALA LUMPUR - Sejumlah besar sukarelawan Malaysia yang ditawan tentera Israel selepas dipintas ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibicarakan tanpa wakil peguam.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peguam Pusat Perundangan bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) di Israel telah bersiap sedia untuk mewakili tahanan Malaysia, tetapi dihalang daripada mendapatkan akses semasa prosiding awal.
Menurut beliau, tindakan tersebut jelas bercanggah dengan prinsip perundangan.
“Kerajaan berharap baki sukarelawan akan dibicarakan dengan kehadiran peguam selepas cuti perayaan Yom Kippur.
“Israel kini sedang bercuti kerana menyambut perayaan agama mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang.

Jelas Mohamad, semua aktivis negara telah diarahkan menandatangani surat deportasi untuk mempercepatkan proses pembebasan jika ditahan, sebelum flotila tersebut memulakan pelayaran.
“Kerajaan sedang memantau keadaan mereka, walaupun komunikasi kini terputus.
“Inilah sebabnya peserta Malaysia diberi taklimat menyeluruh bagi mengelak sebarang provokasi yang boleh memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau memberitahu, Malaysia bersedia sepenuhnya untuk memudahkan kepulangan 23 warganegara yang ditahan.
Untuk hal ini katanya, misi diplomatik di Jordan, Türkiye, Mesir, Algeria dan negara Asia Barat lain turut diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Kita sudah bersedia di Türkiye, Kaherah, Istanbul, dan Algeria. Semua misi kita siap siaga untuk memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat Malaysia.
“Laluan keluar mereka mungkin melalui Jordan, Istanbul, Cyprus, atau lokasi lain, bergantung kepada keputusan rejim Israel,” katanya.
Tambah beliau, kepulangan sukarelawan Malaysia juga bergantung kepada rundingan dengan sekutu diplomatik negara.
“Negara ASEAN yang mempunyai kedutaan di Israel turut terlibat dalam usaha membebaskan mereka.
“Saya sendiri telah menghubungi Timbalan Setiausaha Negara AS, Christopher Landau bagi membantu memudahkan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan,” katanya.
Berhasil Temui 331 Peserta
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, peguam daripada ADALAH sekitar 24 jam lalu berhasil bertemu dengan 331 peserta GSF di Pelabuhan Ashdod.

Menerusi pertemuan itu katanya, empat peserta terdiri daripada warganegara Itali telah dibebaskan.
“SNCC turut menerima laporan daripada pihak ADALAH yang mengesahkan delegasi Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot Rejim Israel dan telah dinasihatkan ADALAH untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure.
“Kami dimaklumkan bahawa pihak ADALAH telah berhubung dengan 20 daripada 23 orang delegasi Malaysia, yang ditahan manakala tiga peserta lagi akan diuruskan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut Sani berkata, kesemua peserta dipaksa melutut dengan tangan bergari zip-tie selama lima jam, selepas sebahagian daripada mereka melaungkan slogan Free Palestine.
“Peserta juga dinafikan akses asas seperti air, tandas, dan ubat-ubatan,” katanya, kesal.
Beliau menarik perhatian, SNCC bersama kerajaan Malaysia kini sedang bersiap sedia untuk membawa pulang semua 23 orang delegasi Malaysia.
Katanya, proses evakuasi akan dimulakan sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis ketika ini.
“Semua barangan bantuan kemanusiaan merangkumi beras, susu formula, air bersih, ubat-ubatan dan lain-lain telah dibawa bersama misi GSF ini.
“Barangan tersebut dipercayai masih berada di atas kapal yang telah dipintas,” katanya. - Getaran, 4 Oktober 2025

