Sukarelawan negeri perlukan 400 orang, anjur pembersihan mega di Putra Heights minggu ini

9 Apr 2025 • 5:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 500 sukarelawan diperlukan bagi melaksana kerja pembersihan mega di lokasi insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights hujung minggu ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kerja pembersihan anjuran Sukarelawan Selangor (SERVE) turut melibatkan sukarelawan Team Selangor dan Mercy Malaysia.

“Setakat ini kita hanya ada kira-kira 100 sukarelawan yang turut melibatkan Team Selangor dan Mercy Malaysia dan kita perlukan tambahan lagi 400 orang.

“Kita juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan lain yang ingin menyertai pasukan sukarelawan kita pada Sabtu dan Ahad ini,” katanya kepada Media Selangor.

image is not available
Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi. Foto Arkib MEDIA SELANGOR

Menurut Mohamad Nizam, pasukan sukarelawan akan digerak membersihkan laluan di kawasan Taman Putra Harmoni, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah, yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Malah katanya, SERVE juga akan membantu membersihkan kediaman mangsa terlibat jika diperlukan dengan seliaan KDEB Waste Management (KDEBWM) yang turut menyediakan kemudahan tong ‘Roll On Roll Off’ (roro).

“Kita akan bantu bersihkan kediaman mangsa jika mereka perlukan. Apa yang paling mustahak, kawasan laluan utama dibersihkan terlebih dahulu untuk memudahkan semua pihak,” katanya.

Individu atau NGO yang ingin turut membantu sebagai sukarelawan boleh mendaftar di link berikut: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSf8S8_UeqcQdm2LslB2jFKjyHzeVdiuUQlQINTd2-k0ST5SHA/viewform?usp=header

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

image is not available
Sukarelawan Team Selangor melakukan pembersihan di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto Team Selangor

image is not available
Keadaan lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 4 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR