‘Sukri, Tolong Jangan Buat Kenyataan Dengan Semberono’ - Saifuddin

LocalPolitics
8 Oct 2024 • 4:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pimpinan Pemuda PAS Selangor mendakwa masalah banjir di negeri itu memberi kesan kepada jumlah pelaburan - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar diingatkan agar tidak membuat kenyataan secara semberono, hanya untuk kekal relevan di mata media.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM 12.4 billion pada suku pertama tahun ini. 

Menurut beliau, jumlah tersebut ialah peningkatan sebanyak 66.8 peratus berbanding suku pertama tahun lalu dengan pelaburan RM 7.44 billion.

“Kenyataan beliau tentang banjir di Selangor dan mengaitkan dengan pelaburan negeri ternyata tidak cerdik dan hanya menampakkan sikap bodoh sombong beliau,” katanya.

image is not available
Saifuddin Shafi Muhammad - Gambar fail

Tegas Saifuddin, laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan bahawa nilai pelaburan terbabit menawarkan 8,377 peluang kerja meliputi 363 projek.

“Sebahagian peluang kerja ini diisi oleh mereka yang berhijrah dari negeri tadbiran PAS.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya,” katanya.

Jelas beliau, dakwaan bahawa pelabur kurang berminat terhadap Selangor juga adalah tidak tepat dan bersifat naif.

“Ternyata Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dibantu Exco dan pimpinan pelbagai jabatan serta agensi sentiasa memberikan komitmen penuh.

“Jentera pentadbiran negeri sentiasa memastikan kesiap-siagaan jentera bantuan kerajaan berfungsi dalam prestasi terbaik setiap kali menjelang musim peralihan Monsun Timur Laut,” katanya.

image is not available
Mohamed Sukri Omar - Gambar Facebook

Logik diberikan Sukri tambah Saifuddin lagi, secara nyata membuktikan punca kelembapan pembangunan di Kelantan di bawah pentadbiran PAS selama 30 tahun.

“Lagipun bukan Menteri Besar daripada Pakatan Harapan/ Perpaduan yang dikesan berada di New Zealand atau Jepun ketika musibah banjir melanda negeri,” katanya, sinis. 

Sukri sebelum ini mendakwa, jentera pentadbiran Selangor gagal menguruskan masalah banjir di negeri itu walaupun menerima peruntukan dalam jumlah yang tinggi. 

Bencana alam itu dakwanya, menyebabkan Selangor tidak lagi digemari pelabur yang turut terbukti dari kedudukan KDNK yang semakin menurun. - Getaran, 8 Oktober 2024