Sukuk Kelestarian SME Bank raih anugerah The Asset Triple A 2023

Business & Finance
17 Aug 2023 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sukuk Kelestarian SME Bank raih anugerah The Asset Triple A 2023

zulfadli

17/08/2023 - 14:46

KUALA LUMPUR 17 Ogos - SME Bank menerima Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh The Asset Triple A sewaktu di majlis Anugerah Kewangan Islam 2023.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, pada tahun 2022, SME Bank telah berjaya meluluskan pembiayaan bernilai RM3.25 bilion untuk sektor berkaitan ESG dan ini menandakan pencapaian penting dalam komitmen pihaknya terhadap ini kelestarian.

"Dengan mendedikasikan dana khusus dan hasil daripada terbitan Sukuk, kami dapat menyokong projek yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, kemajuan sosial dan tadbir urus yang baik.

"Ini semua merupakan tonggak penting bagi ekonomi yang berkembang maju dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Sukuk Kelestarian yang memenangi anugerah ini merupakan terbitan Sukuk AAA kedua SME Bank yang diterbitkan pada bulan Ogos 2022.

Terbitan ini telah mencatatkan permintaan sebanyak RM536 juta yang melebihi jumlah awal yang disasarkan iaitu RM300 juta.

Sukuk Kelestarian ini telah ditetapkan pada kadar keuntungan kompetitif 4.04%, menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik bagi pelabur yang mencari instrumen kewangan patuh syariah yang mampan.

image is not available

Aria menambah, ia merupakan anugerah keenam yang diterima untuk Program Wakalah Sukuk Kelestarian mereka.

"Dengan pengiktirafan ini, bank bukan sahaja menunjukkan dedikasinya untuk memperjuangkan piawaian dan nilai etika tetapi juga mempamerkan keupayaan kami untuk memberi kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Seiring langkah kami untuk terus memimpin melalui teladan, kami telah menetapkan tahap yang lebih tinggi untuk industri, memupuk landskap kewangan yang lebih mampan dan bertanggungjawab untuk masa depan," katanya.

Program Sukuk Wakalah ini telah diberi penarafan AAA dan telah mencapai piawaian Emas Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), penarafan tertinggi di bawah rangka kerja Sukuk Kelestarian MARC.

Penarafan ini adalah bukti kepada tahap kepercayaan kredit yang tinggi dan tadbir urus yang kukuh yang ditunjukkan oleh SME Bank dalam usaha menyediakan pembiayaannya yang mampan.

Kejayaan terbitan Sukuk ini tercapai dengan sokongan dan kerjasama institusi kewangan seperti RHB Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd.

PMKS yang berminat dengan kemudahan kewangan dan program latihan keusahawanan berkaitan ESG boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di talian 03-26037700 atau melayari laman web rasmi di www.smebank.com.my. - DagangNews.com