Sulfur dioksida Anak Krakatau tak masuk ruang udara Malaysia – MetMalaysia

LocalEnvironment
8 Sep 2026 • 2:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sulfur dioksida Anak Krakatau tak masuk ruang udara Malaysia – MetMalaysia

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan tular kononnya sulfur dioksida susulan letusan terbaharu Gunung Anak Krakatau di Indonesia sudah memasuki ruang udara Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan pemantauan semasa, pergerakan bahan daripada gunung berapi berkenaan tidak menuju ke negara ini.

“Dakwaan itu tidak benar. Paparan yang dikongsikan tersebut hanyalah berdasarkan model dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pergerakan bahan daripada gunung berapi berkenaan.

“Berdasarkan keadaan sebenar, pergerakan debu itu tidak menuju ke arah negara kita, sebaliknya bergerak ke arah Lautan Hindi di barat laut Sumatera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Image from: Sulfur dioksida Anak Krakatau tak masuk ruang udara Malaysia – MetMalaysia
Tangkap layar memaparkan hantaran tular yang dimuat naik oleh netizen di laman Threads.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu hantaran tular di Threads yang mendakwa SO2 daripada Anak Krakatau sudah memasuki ruang udara Malaysia sehingga orang ramai disaran memakai pelitup muka.

Menurut Mohd Hisham, paparan model berkenaan tidak boleh terus dianggap sebagai gambaran keadaan sebenar kerana pergerakan bahan daripada gunung berapi turut dipengaruhi faktor angin.

“Paparan itu merupakan satu model. Ia menunjukkan kemungkinan pergerakan sekiranya tiada faktor angin yang mempengaruhinya, tetapi keadaan sebenar adalah berbeza.

“Setakat ini, berdasarkan penelitian terhadap arah dan pergerakan angin, kita tidak melihat kemungkinan ia bergerak ke negara kita,” jelasnya.

Tambahnya, pemantauan terhadap Anak Krakatau juga tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa sehingga boleh menyebabkan bahan daripada gunung berapi berkenaan bergerak ke Malaysia dalam masa terdekat.

Terdahulu, satu hantaran di Threads menjadi perhatian selepas mendakwa sulfur dikosida daripada Anak Krakatau sudah memasuki ruang udara Malaysia dengan memaparkan model atmosfera berwarna merah dan jingga, selain menggesa orang ramai memakai pelitup muka.

Sebelum ini, Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda mengalami episod letusan berterusan selama kira-kira 25 jam bermula pukul 11.07 malam, 4 September sebelum berakhir pukul 12.04 tengah malam, 6 September.– KOSMO! ONLINE

The post Sulfur dioksida Anak Krakatau tak masuk ruang udara Malaysia – MetMalaysia appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved