Sultan Abdullah Ketua Negara Malaysia Pertama Berangkat Ke Istiadat Pertabalan Raja UK

7 May 2023 • 12:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri bergambar bersama kenamaan yang hadir di Istiadat Pertabalan Raja United Kingdom (UK), semalam - Gambar dari Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah ketua negara Malaysia pertama yang berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Raja United Kingdom (UK).

Jurucakap Istana Negara berkata, baginda berangkat ke istiadat berkenaan dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat tersebut diadakan di Westminster Abbey, semalam.

“Kali terakhir istiadat yang sama diadakan adalah 70 tahun lalu, ketika Ratu Elizabeth II ditabal menjadi ketua negara UK pada 2 Jun 1953. 

“Ketika itu, Tanah Melayu (kini Malaysia) masih belum merdeka dan Institusi Yang di-Pertuan Agong belum lagi wujud,” katanya menerusi hantaran di Facebook Istana Negara.

Menurut jurucakap tersebut, istiadat pertabalan Ratu Elizabeth II ketika itu dihadiri Sultan Kelantan, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Sultan Perak yang berkenan berangkat mewakili Tanah Melayu.

Tanah Melayu pada waktu itu masih lagi tertakluk di bawah pentadbiran British sebagai negara koloni, ke istiadat pertabalan berkenaan.

Raja Charles III akhirnya ditabalkan semalam, yang turut menandakan permulaan era baharu kerajaan Britain

Baginda menggantikan bondanya, Ratu Elizabeth II yang mangkat ketika berusia 96 tahun, pada 8 September tahun lalu. - Getaran, 7 Mei 2023