
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum sedia maklum bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 telah bermula pagi tadi (3 Februari) di Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15, yang menjadi istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh baginda selepas mengangkat sumpah sebagai YDPA pada 31 Januari 2024.
Keberangkatan tiba baginda di Dewan Rakyat kira-kira jam 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing.
Sultan Ibrahim Titah Wakil Rakyat Perlu Jadi Benteng Perpaduan Negara
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
Sebaliknya, baginda bertitah Parlimen merupakan dewan yang mulia bagi wakil rakyat membahaskan agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
“Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata. Tempat undang-undang digubal dan medan semak dan imbang.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat,” titah baginda.
YDPA Puji Ahli Dewan Yang Berubah Menjadi Lebih Sopan
Di samping itu, Sultan Ibrahim turut bertitah agar wakil rakyat tidak menjadikan setiap isu sebahagian daripada permainan politik dan tidak mementingkan parti sendiri sahaja.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
“Saya perhatikan dalam persidangan Parlimen tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah diucapkan kepada semua,” titah baginda.
Namun tegas Sultan Ibrahim, masih ada sesetengah wakil rakyat yang sukar untuk membuang tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Dewan sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin atas mengekalkan kestabilan politik, sejurus itu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara.
Sultan Ibrahim Titah Kerajaan Pastikan Prestasi Baik Ekonomi Bawa Kemakmuran Pada Rakyat
Di samping itu, Sultan Ibrahim bertitah memanjatkan kesyukuran dengan perkembangan ekonomi dalam negara termasuk prestasi domestik dan pelaburan negara yang meningkat, pengukuhan nilai ringgit dan kadar pengangguran yang rendah.
Pada tahun lalu, baginda bertitah bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9% dalam pelbagai sektor. Malah jumlah perdagangan negara turut melepasi angka dua trilion ringgit untuk tempoh sembilan bulan pertama.
“Namun begitu kerajaan hendaklah memastikan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini dan berharap ia akan terus dipertingkatkan,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah menyambut baik pendekatakan subsidi bersasar yang berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Namun baginda menggesa agar subsidi berkenaan diagihkan dengan cekap serta berkesan kepada kumpulan yang layak menerimanya.
Source:
