Sultan Johor Cemar Duli Ke Kediaman Rasmi PM

Politics
4 Feb 2023 • 5:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Anwar Ibrahim di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli mengunjungi kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Kunjungan baginda itu bagi memenuhi undangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia dikongsikan Sultan Ibrahim menerusi Facebook.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mempersembahkan taklimat kepada baginda berhubung lawatan kerja beliau ke Singapura, 30 Januari lalu.

Lawatan rasmi sehari Anwar yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu adalah kunjungan formal ketiga beliau ke luar negara, selepas Indonesia dan Brunei sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Beberapa perkara dibincangkan serta ditandatangani beliau ketika pertemuannya dengan rakan sejawatnya di negara berkenaan, Lee Hsien Loong dan Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Menerusi hasil lawatannya, Anwar memaklumkan bahawa beliau melihat keterjaminan makanan sebagai antara bidang yang boleh diteroka bersama dengan Singapura, bagi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Katanya, Malaysia dan Singapura juga bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat.

Malah, Anwar memberitahu, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber serta ekonomi digital antara kedua-dua negara - Getaran, 4 Februari 2023