Sultan Johor dipersembah cadangan tiga projek tebatan banjir

27 Jan 2023 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat dipersembahkan cadangan projek tebatan banjir melibatkan tiga daerah di negeri ini oleh Nik Nazmi. - Foto Facebook Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat dipersembahkan cadangan projek tebatan banjir melibatkan tiga daerah di negeri ini.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Johor, cadangan projek tebatan banjir itu telah dipersembahkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan yang berlangsung di sini.

Projek tebatan banjir itu melibatkan daerah Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi dan akan segera dilaksanakan dalam usaha mengurangkan risiko banjir yang sering melanda beberapa daerah di Johor.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa itu, Nik Nazmi turut memaklumkan situasi banjir di Johor. - Bernama