Sultan Johor, Permaisuri Terima Kunjungan Menteri, Isteri PM Singapura

Politics
16 Jun 2023 • 8:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menerima kunjungan hormat K. Shanmugam dan Ho Ching di Istana Bukit Serene di Johor Bahru. - Gambar dari Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR - Hubungan persahabatan antara Johor dan Singapura yang terjalin erat sejak dahulu terus diperkukuhkan dengan kunjungan hormat serta lawatan mesra dalam kalangan kepemimpinan tertinggi kedua-dua pihak.

Ia jelas terbukti hari ini apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Berangkat sama ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kunjungan hormat tersebut turut disertai isteri Perdana Menteri Singapura, Datin Paduka Ho Ching dan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Datuk Avinderjit Singh.

Menerusi hantaran laman rasmi Sultan Ibrahim di Facebook, kunjungan berkenaan adalah sebagai menghormati lawatan baginda ke republik tersebut pada 13 Mei lalu.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Singapura ketika itu adalah bagi memenuhi jemputan peribadi Shanmugam bagi satu majlis santapan tengah hari bersama DYMM Sultan Johor. 

Pada pertemuan di Istana Serene itu, baginda berdua meluangkan masa hampir sejam untuk berbual bersama kedua-dua tetamu.

Titah Sultan Ibrahim, baginda sentiasa menekankan kepentingan untuk Johor dan Singapura memanfaatkan hubungan erat kedua pihak bagi mencapai manfaat bersama dalam pelbagai sektor ekonomi. 

"Antaranya, bidang perniagaan, perdagangan, industri, di samping memperkukuh hubungan persahabatan dan pemahaman antara rakyat,” titah baginda. - Getaran, 16 Jun 2023