Sultan Nazrin berkenan sampaikan bantuan Aidilfitri MAIPk bernilai RM12.6 juta

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 11:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Nazrin (dua dari kiri) berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada penghulu mukim mewakili penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf di negeri ini sempena majlis sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar pada Jumaat.

PARIT - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 1447H/2026M kepada lebih 42,000 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri.

Penyampaian tersebut berlangsung sempena majlis sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar dekat sini pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pada majlis itu, dana zakat berjumlah RM12.6 juta telah diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 42,006  penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf di negeri ini.

"Penerima bantuan tersebut dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Zakat Fitrah Masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak.

"Selain itu, bantuan ini turut dipanjangkan kepada semua penerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan hemodialisis asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk," katanya.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Majlis bermula dengan persembahan khas sajak Nuzul Al-Quran, diikuti bacaan ayat-ayat suci al-Quran beserta terjemahan dan tahlil.

Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama lebih 2,000 jemputan.