
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Minum Petang sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1445H/2023M di Istana Negara, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin dan Tuanku Zara disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan isteri Datin Nik Roslini Raja Ismail.
Majlis berkenaan turut dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada qari dan qariah yang menyertai MTHQA, para hakim dan urusetia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terlibat dalam penganjuran MTHQA.
Pada majlis itu Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan bergambar bersama tetamu yang hadir selain mengurniakan sijil serta cendera kenangan kepada barisan hakim.
MTHQA yang bermula 19 Ogos hingga esok itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran serta hafazan al-Quran 30 juzuk.
MTHQA kali ini melibatkan 72 peserta dari 52 negara masing-masing 24 lelaki dan 12 wanita bagi setiap kategori tilawah dan hafazan.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Ivory Cost, Ethiopia, Slovenia, Jordan, Qatar, Belanda, Kanada dan Turki.
Malaysia menghantar empat wakil iaitu qari orang kurang upaya (OKU) penglihatan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dari Kelantan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu bagi kategori tilawah, manakala kategori hafazan ialah Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar dari Sabah. -Bernama


