Sultan Pahang titah penduduk berhati-hati susulan IPU tidak sihat di Balok Baru

LocalEnvironment
4 Mar 2025 • 4:57 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan penduduk sekitar Balok Baru di sini, terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan berhati-hati susulan pencemaran udara di situ.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata Al Sultan Abdullah mahu langkah itu diambil supaya mereka tidak menerima kesan secara langsung akibat pencemaran tersebut.

“Kegiatan luar perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak daripada dijangkiti sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

“Baginda turut mengingatkan rakyat untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya semasa musim cuaca panas dan berangin ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Zahari berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan dengan pencemaran udara itu.

Mengikut rekod, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 251 dicatatkan di kawasan itu pada 2 petang semalam, dipercayai akibat kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini.

Bagaimanapun, setakat 9 pagi tadi, IPU kawasan berkenaan telah merekodkan penurunan kepada bacaan 188 iaitu kategori tidak sihat.