Sultan Perak berkenan rasmi gerbang suria UPSI berasaskan sistem solar pertama di Malaysia

LocalTechnology
23 Apr 2025 • 4:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sultan Perak berkenan rasmi gerbang suria UPSI berasaskan sistem solar pertama di Malaysia

image is not available

23/04/2025 - 16:59

Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak perasmian Gerbang Suria UPSI pada Majlis Perasmian Gerbang Suria UPSI, Pertukaran Dokumen MoU di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Singapore University Of Social Sciences (SUSS) serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri UPSI 2025 di Dewan Tuanku Canselor UPSI hari ini. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Gerbang Suria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu dewan terbuka yang dibina berasaskan sistem solar, pertama seumpamanya di Malaysia.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamed, Pro Canselor UPSI Profesor Emeritus, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI, Institusi Darul Ridzuan (IDR) dan Singapore University of Social Sciences (SUSS).

Dalam ucapannya, Md Amin berkata, gagasan daripada titah Sultan Nazrin telah memberi inspirasi kepada penyelidik UPSI bersama Syarikat Synergy Generated dan UPSI Holdings Sdn Bhd untuk membina sebuah Gerbang Suria ataupun dewan solar mega dengan keluasan lebih 12,500 kaki persegi.

"Gerbang Suria UPSI berkonsepkan 'zero capex' ini berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2,800 tan setahun.

"Selain itu, ia menjimatkan bil elektrik RM2 juta setahun, menjimatkan sewaan khemah upacara sebanyak RM500,000 setahun, dan mampu menjana hingga RM350,000 setahun melalui sewaan pelbagai program yang dilaksanakan di gerbang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, UPSI mengambil langkah proaktif menerusi kerjasama ini dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan latihan dalam bidang ekonomi penjagaan.

Melalui kerjasama strategik itu, UPSI dan rakan kerjasamanya merancang untuk membangunkan Living Lab dan Resort Persaraan di beberapa lokasi strategik termasuk Ipoh dan Muallim.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha UPSI menyokong agenda negeri dalam membina masyarakat penyayang dan sistem sokongan bersepadu untuk warga emas yang semakin meningkat.

Malahan, UPSI juga menerima kunjungan dan kerjasama daripada institusi antarabangsa termasuk dari Singapura, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Jepun, China, dan Indonesia bagi memperkukuh kedudukan UPSI sebagai universiti pendidikan bertaraf dunia.

Baginda berdua juga berkenan menghadiri majlis santapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri UPSI 2025.- DagangNews.com

standard