SHAH ALAM, 16 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini berkenan menerima zakat perniagaan lebih RM3.9 juta daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pembayaran zakat bagi tahun kewangan berakhir 2023 itu disampaikan Pengerusi PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
Mohd Sabirin ketika ditemui media merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kumpulan PNB yang melunaskan tanggungjawab rukun Islam keempat itu dengan pembayaran meningkat berbanding tahun lalu.

“Syukur Alhamdulillah, jumlah ini menunjukkan keberkatan diterima PNB yang telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk berzakat.
“Kita mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan kepada PNB di atas sokongan dan komitmen selama ini dalam menganjurkan pelbagai aktiviti bersama LZS,” katanya.
The post Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM3.9 juta dari PNB appeared first on Selangorkini.


