Sultan Selangor dukacita dana umat Islam diseleweng demi kepentingan peribadi

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 2:24 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila dana yang dikutip atas nama kebajikan dan kepentingan agama disalahgunakan oleh segelintir pihak untuk kepentingan peribadi.

Image from: Sultan Selangor dukacita dana umat Islam diseleweng demi kepentingan peribadi

Foto: Utusan

Memetik laporan Utusan Malaysia, baginda bertitah, kutipan seperti infak, sumbangan dan fidyah turut dikendalikan oleh pelbagai pihak, termasuk syarikat, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Menurut baginda, sebahagian besar pihak yang membuat kutipan itu tidak dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak itu terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi tujuan kepentingan peribadi. Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam,” titah baginda sempena Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026.

Sultan Sharafuddin bertitah, majlis agama Islam negeri merupakan badan berautoriti dan pemegang amanah tunggal baitulmal di negeri masing-masing. Baginda berkata, peranan itu diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam setiap negeri, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan umat Islam supaya memastikan sumbangan mereka disalurkan kepada majlis agama Islam negeri atau pihak yang mendapat kebenaran sah untuk membuat kutipan.

“Oleh itu, masyarakat Islam hendaklah memastikan setiap dana umat Islam disalurkan kepada pihak berkuasa iaitu MAIS atau majlis agama Islam negeri-negeri atau pihak yang mendapat kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis agama Islam negeri supaya mengurus serta mengagihkan harta baitulmal secara telus, cekap dan profesional dengan mematuhi hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tadbir urus baitulmal mestilah sentiasa berada pada tahap tertinggi. Dana umat Islam hendaklah diurus, diagihkan, dikembangkan dan dimanfaatkan bagi menjaga maslahah dan kepentingan umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menggesa baitulmal memperluas peranannya dalam membangunkan kekayaan umat Islam. Antara langkah yang diketengahkan baginda ialah memperkukuh kerjasama dengan institusi perbankan dan kewangan Islam serta syarikat pengurusan harta Islam bagi meningkatkan nilai aset baitulmal dan menjana pulangan untuk umat Islam.

Konvensyen itu dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dengan disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin. Turut hadir ialah delegasi baitulmal dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sumber: Utusan Malaysia (Mohamad Athir Ismail)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved