GOMBAK, 20 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat lebih RM4 juta daripada tiga syarikat sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat Gombak.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima pembayaran daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad berjumlah RM1.953 juta, Jakel Shah Alam (RM1.235 juta) dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (RM1 juta).
Berlangsung di Masjid Kampung Klang Gate Baru, Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin turut berkenan merasmikan masjid terbabit.

Dibina pada 2021 di tanah berkeluasan lebih dua ekar dan melibatkan kos RM19.5 juta, masjid itu mampu memuatkan sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Dalam majlis dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan raya kepada 492 asnaf sekitar Gombak melibatkan peruntukan RM246,000.
Selepas berbuka, Baginda berdua menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama-sama rakyat.

The post Sultan Selangor iftar bersama rakyat Gombak, terima zakat perniagaan tiga syarikat appeared first on Selangorkini.

