
SHAH ALAM, 11 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini tidak dibubarkan.
Dato’ Menteri Besar berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.
“Pagi ini saya menghadap DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam sesi menghadap berjadual.
“Saya menyembah maklum komitmen dan persiapan Kerajaan Negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.
“DYMM tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15).
Pada 5 Oktober, Majlis Presiden HARAPAN memutuskan tiga negeri tadbiran HARAPAN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
The post Sultan Selangor perkenan tidak bubar DUN, titah tumpu usaha bantu rakyat appeared first on Selangorkini.

