SHAH ALAM, 11 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berbuka puasa bersama 600 warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM Shah Alam hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Menerusi majlis tersebut, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM berkenan menyampaikan sumbangan kepada 26 pelajar fakir miskin serta empat kakitangan UiTM kurang upaya.
Sumbangan keseluruhan berjumlah RM6,000 itu diperuntuk melalui dana zakat dan dana sedekah UiTM dengan setiap individu menerima RM200.

Baginda turut berkenaan sertai bacaan yasin dan tahlil khas yang dipimpin Ketua Unit Imarah Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM Ustaz Mohd Faizan Tajuid.
Selesai berbuka, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih bersama warga UiTM yang diimamkan Ketua Unit Masjid Bahagian Hal Ehwal Islam Ustaz Md. Idris Abdullah.

Dalam pada itu, UiTM memaklumkan majlis berbuka puasa merupakan platform mengeratkan hubungan antara warga universiti dan kepimpinan negeri selain menzahirkan semangat ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Jelasnya, program seumpama itu juga selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan yang seimbang daripada segi akademik dan sahsiah serta menerapkan nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
The post Sultan Selangor, Permaisuri berkenan berbuka puasa bersama warga UiTM appeared first on Selangorkini.



