Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 11:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 Laluan Shah Alam.

Baginda disembah maklum, sepanjang pelaksanaan projek ini lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam.

Image from: Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada warga Prasarana, MRCB dan lebih 13,000 tenaga kerja yang bertungkus-lumus hampir 11 tahun membina LRT3 Laluan Shah Alam — projek pengangkutan awam moden yang kini menjadi nadi mobiliti rakyat. - Gambar MRCB, 14 Julai, 2026

Pada satu-satu masa, purata seramai 8,000 kakitangan bekerja di pelbagai tapak, disiplin dan fungsi khusus, membentuk tenaga kerja yang usaha kolektif mereka amat penting dalam menjayakan projek infrastruktur rel utama ini.

Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, pekerja mahir, pekerja binaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, pentadbir dan kakitangan sokongan — rakyat Malaysia dan pekerja dari luar negara — masing-masing memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini.

"Ramai antara mereka bekerja berjam-jam dalam keadaan mencabar, sering berjauhan daripada keluarga, demi memastikan projek berjalan dengan selamat, mengikut jadual dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.

Image from: Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3
Ramai yang bekerja berjam-jam dalam keadaan mencabar, sering berjauhan daripada keluarga, demi memastikan projek ini berjalan dengan selamat, mengikut jadual dan menepati piawaian yang ditetapkan. - Gambar MRCB, 14 Julai, 2026

Semalam, baginda berkenan merasai sendiri pengalaman menaiki LRT3 dari stesen Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia, Klang, diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda menzahirkan rasa syukur kerana projek pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem mobiliti moden, selesa dan mampan.

Image from: Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia semalam. - 14 Julai, 2026

Dalam kenyataan itu, baginda turut menzahirkan keterujaan menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh — Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik — yang bakal dibina semula untuk manfaat penduduk di kawasan berdekatan.

Sultan Selangor berpesan agar rakyat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini sebagai pemangkin budaya penggunaan pengangkutan awam demi mewujudkan sistem mobiliti yang lestari dan berkualiti untuk masa hadapan. - 14 Julai, 2026

The post Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3 appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved