Sultan Selangor Selamat Tiba Di Tanah Air Selepas Jalani Prosedur Perubatan

15 Aug 2023 • 1:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyambut ketibaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. gambar Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat tiba di tanah air selepas menjalani prosedur perubatan di London, United Kingdom.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang turut disertai Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan baginda berdua dalam catatan di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Sultan Selangor kelihatan sihat dan ceria.

“Syukur Alhamdulillah, urusan perubatan Tuanku Sultan Selangor berjalan dengan baik dan lancar. Baginda turut kelihatan sihat dan ceria,” katanya dalam hantaran itu.

“Patik dan sekalian rakyat sentiasa mendoakan agar Tuanku berdua dilanjutkan usia dalam kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keafiyatan semoga Tuanku kekal qarar bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan, dan kesejahteraan jua,” kata Amirudin.

Sultan Sharafuddin yang berangkat ke London, United Kingdom pada 28 Julai lepas selamat menjalani rawatan dan pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) di sebuah hospital di ibu kota berkenaan. - BERNAMA