Sultan Selangor setuju isu kalimah Allah dibincang dalam MKI pada Ogos 2023 - PM Anwar

LocalPolitics
7 Jun 2023 • 4:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sultan Selangor setuju isu kalimah Allah dibincang dalam MKI pada Ogos 2023 - PM Anwar

zulfadli

07/06/2023 - 16:49

KUALA LUMPUR 7 Jun - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju membawa isu kalimah Allah untuk dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos, sebelum diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

"Saya telah menghadap Sultan Selangor hari ini dan menyembah maklum kepada baginda berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

"Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

image is not available
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor pada 7 Jun 2023. - Gambar Selangor Royal Office

"Justeru, saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak," katanya. - DagangNews.com