Sultan Selangor tentang, arah tindakan tegas babit aktiviti “Glamping with Pride”

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 6:41 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tindakan tegas terhadap aktiviti melibatkan penganjuran “Glamping with Pride” berkait komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang akan diadakan pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor.

Perkara itu dizahirkan baginda ketika berkenan menerima menghadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Turut serta menghadap Sultan Sharafuddin ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Dr. Anhar Opir.

Dalam satu kenyataan bersama baginda menegaskan, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.

"Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau yang mempunyai persamaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Lut AS.

Sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT ini adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl)," katanya.

Selain itu, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada aqidah umat Islam.

"Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam.
Mereka juga percaya bahawa manusia bebas menentukan identiti jantina sedangkan ia bertentangan dan di luar ketetapan fitrah Allah SWT."

MAIS turut menegaskan umat Islam khususnya golongan remaja tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.

"Tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ia jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam," katanya. - 12 Januari, 2026

The post Sultan Selangor tentang, arah tindakan tegas babit aktiviti “Glamping with Pride” appeared first on Scoop.