
KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan kerajaan supaya memberikan lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Negeri Selangor sahaja.
Dengan kaedah ini, titah baginda, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah di Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.
Pada masa sama, Baginda menegaskan bahawa Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.
Baginda juga menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Ini adalah kerana penternakan babi ini boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
“Di samping itu ianya boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,’’ titah Baginda.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah menentang aktiviti penternakan babi, namun menegaskan ia tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan dan bantahan penduduk setempat.
Menurut Anwar, pendirian berkenaan bukan berdasarkan sentimen perkauman atau agama tetapi bertujuan menjaga kesejahteraan komuniti yang berkesan.
Mengulas mengenainya, Sultan Sharafuddin bertitah, isu itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri semasa beliau menghadap Baginda pada 8 Februari lalu.
“Berikutan dengan pertemuan itu, Perdana Menteri di dalam ucapannya pada 9 Februari 2026 telah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan yang dibantah oleh penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi.
“Sekiranya tiada kawasan yang bersesuaian untuk menternak babi di negeri Selangor khususnya maka saranan beliau agar ianya tidak perlu dijalankan,’’ titah Baginda sambil menyatakan baginda menyambut baik kenyataan itu.
Tegas Baginda, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.
Tambahan lagi, titah Baginda tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
“Penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di Negeri Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,’’ titah Baginda. - 10 Februari, 2026
The post Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor appeared first on Scoop.

