Sum Technology sasar kumpul RM32.76 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sum Technology sasar kumpul RM32.76 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Image from: Sum Technology sasar kumpul RM32.76 juta menerusi IPO di Pasaran ACE liza20/05/2026 - 12:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Sum Technology Bhd menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM32.76 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dalam usaha memperkukuh operasi serta memperluaskan perniagaan ke pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Berdasarkan prospektus, IPO berkenaan melibatkan terbitan sebanyak kira-kira 117 juta saham baharu pada harga 28 sen sesaham.

 

Keseluruhan penyenaraian ini terdiri daripada terbitan awam baharu tanpa sebarang jualan saham oleh pemegang saham sedia ada.

 

Selepas IPO, jumlah saham diperbesarkan syarikat dijangka meningkat kepada sekitar 450 juta saham, dengan sebahagian besar pegangan akan berada dalam kalangan pelabur awam selepas penyenaraian di Pasaran ACE.

 

Permohonan bagi IPO tersebut akan ditutup pada 4 Jun 2026, manakala penyenaraian di Bursa Malaysia dijadualkan pada 18 Jun 2026.

 

Sum Technology merupakan syarikat kejuruteraan yang terlibat dalam pembinaan kemudahan berteknologi tinggi termasuk bilik bersih serta sistem mekanikal, elektrikal, proses utiliti dan perlindungan kebakaran bagi fasiliti kritikal seperti sektor semikonduktor, farmaseutikal dan pusat data.

 

Syarikat yang berpangkalan di Petaling Jaya itu turut menghasilkan produk pengudaraan mekanikal dan penyaman udara yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan industri, selain menyediakan penyelesaian kejuruteraan bersepadu bagi projek berskala besar.

 

Daripada keseluruhan hasil IPO, lebih 50 peratus akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi dan pelaksanaan projek sedia ada serta projek baharu di dalam dan luar negara.

 

Sebanyak 17 peratus daripada dana IPO diperuntukkan untuk pengembangan ibu pejabat syarikat, manakala 8.7 peratus akan digunakan bagi penubuhan pejabat baharu di Filipina yang merupakan pasaran luar negara terbesar Sum Technology ketika ini.

 

Selain itu, 7.6 peratus akan digunakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan keupayaan reka bentuk, kecekapan sistem serta pembangunan penyelesaian kejuruteraan baharu.

 

Baki sekitar 16.7 peratus daripada hasil IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

Dari sudut penilaian, Sum Technology dijangka mencapai permodalan pasaran sekitar RM126 juta selepas penyenaraian, dengan penilaian pada sekitar 21 kali ganda keuntungan bersih terkumpul. 

 

Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM6.06 juta pada tahun kewangan 2025 dengan hasil berjumlah RM65.67 juta.

 

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard