Sumbangan Asas Rahmah boleh beli 13 kategori barangan termasuk keperluan sekolah

23/04/2025 - 11:33
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 23 April — Penerima kredit bulanan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh memanfaatkan pemberian berkenaan untuk membeli sejumlah 13 kategori barangan di lebih 3,500 premis runcit di seluruh negara.
Perkara tersebut dimaklumkan Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu hantaran hebahan awam yang berbentuk infografik dan disiarkan menerusi akaun sosial rasminya hari ini kepada kira-kira 5.4 juta penerima skim bantuan berkenaan.
Ia memaklumkan bahawa penerima cuma perlu memastikan terdapat label SARA atau MyKasih pada rak harga barangan yang hendak dibeli kerana itu merupakan tanda produk tersebut termasuk dalam senarai diluluskan pihak kerajaan.
"Ada beras, telur, minyak masak, roti, makanan dalam tin, dan macam-macam lagi. Ubat-ubatan dan keperluan sekolah pun termasuk, tau!," kata pentadbir MoF dalam hantaran berkenaan yang merujuk antara 13 jenis barangan terbabit.
Berdasarkan infografik itu, turut termasuk ialah tepung, biskut, mi segera, minuman termasuk susu, teh atau kopi, bahan perasa seperti kicap, sos, garam atau gula, serta produk penjagaan diri seperti ubat gigi, tuala wanita atau sabun.


Ia bagaimanapun menasihatkan penerima SARA agar tidak lupa membawa MyKad kerana kredit skim itu disalurkan terus ke dalam kad pengenalan mereka untuk disemak juruwang di kaunter bayaran sebelum setiap barangan diimbas.
"Kalau tak bawa, bukan saja tak boleh beli barang, silap-silap nanti abang polis tanya pula, Mana IC?," kata pentadbir akaun tersebut secara berseloroh sambil meminta penerima menyimpan resit dan menyemak transaksi pembelian.
Kerajaan menyalurkan SARA secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih pada 15 Januari 2025 sebelum diperluaskan kepada 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 1 April 2025.
Penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada 2024 dengan peningkatan dana kepada sebanyak RM13 billion sepanjang 2025.
Kadar bantuan kepada isi rumah miskin dan miskin tegar yang disenaraikan dalam rekod eKasih layak menerima sebanyak RM2,100 untuk 2025 berbanding hanya RM1,200 sebelum ini. - DagangNews.com
standard



