Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 dibayar mulai 26 Jun 2023 - MOF
zulfadli
22/06/2023 - 10:34
KUALA LUMPUR 22 Jun - Lebih 8 juta golongan B40 yang layak bakal menerima pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) secara berperingkat mulai 26 Jun 2023.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, pembayaran ini membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion yang mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
"Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, pembayaran STR 3 akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing mulai 26 Jun hingga 5 Julai 2023.
"Manakala, bagi penerima yang tiada akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran tunai akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 26 Jun 2023," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada Julai 2023.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ini adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat.
Menurut MOF, fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada Januari dan April lepas.

"Ketiga-tiga fasa STR ini melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi 2023. Pembayaran fasa keempat STR dijangka pada November 2023," katanya.
Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun 2023. Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023.
Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my. - DagangNews.com


