“Sumpah demi Allah..”- Peniaga Nasi Ayam Claypot ‘viral’ nafi guna bahan tak halal

12 Sep 2023 • 4:33 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sejak minggu lalu, tular di media sosial mengenai sebuah premis restoran nasi ayam berasaskan periuk tanah liat yang diusahakan suami isteri Muslim yang didakwa memasukkan arak beras ke dalam masakan mereka.

Bahkan, status halal premis makanan berkenaan bertambah sangsi apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihak mereka tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal.

Peniaga nasi ayam claypot bersumpah, tiada bahan tak halal

Terbaharu, peniaga nasi ayam claypot tular berkenaan, Ahmad Muzakin Mohd Amir,48, berani bersumpah dan menjelaskan bahawa pihaknya tidak menggunakan bahan terlarang seperti yang dikatakan oleh warganet di media sosial.

“Sumpah demi Allah SWT, saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam, saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga saya,”ujarnya.

image is not available

Sumber: Foto Harian Metro: Nabila Adlina Azahari

Mengaku tiada sijil halal dan guna minyak bijan

Memetik laporan Harian Metro, bapa kepada tiga orang anak itu mengakui premis perniagaannnya tidak memiliki sijil Halal selain mendedahkan pihak Jakim pernah datang membuat pemeriksaan status halal sebelum ini.

Bahkan, peniaga nasi ayam claypot itu yakin minyak bijan yang digunakan olehnya tidak mengandungi bahan tak halal meskipun pengeluar kilang tidak mempunyai sijil halal.

“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.
“Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.
“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu.
“Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” katanya lagi.

@chamais_

Restoran Ahmad Muzakin, Sri Petaling KL Nasi Ayam Claypot diusahakan pasangan Indonesia-Muslim ni. P/S : Video diambil sebelum status halal dipertikaikan. #chamais #mychamais #foodie #myfoodie #nasiayamclaypot #nasiayam #halal #makananmalaysia

♬ original sound – Cham Ais – Cham Ais

Maafkan orang tabur fitnah

Meskipun sedih dan terkilan dituduh oleh segelintir pihak, Ahmad Muzakin tetap memaafkan mereka dengan menganggap setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuklah dirinya.

Tambah Ahmad Muzakin, mereka kini sedang mengikuti kursus bagi membuat permohonan sijil halal kepada Jakim pada Khamis ini selain menyatakan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Dia turut tidak malu mengaku berketerunan dari Indonesia, manakala isterinya berasal dari Surabaya.

“Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri (Rotiya Ropai, 49) nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.
“Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya.
“Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro (Noor Hidayah Tanzizi dan Suhaila Khairie), TikTok @restoranahmadmuzakin, @chamais,