
BEAUFORT: Usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan melalui penyelenggaraan Sungai Api-Api diteruskan dan kali ini projek sama telah bermula membabitkan dua fasa.
Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, pelaksanaan projek yang telah bermula Julai lalu itu melibatkan pembersihan sejauh 7.1 kilometer (KM) dengan kos RM500,000 di bawah peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Untuk fasa pertama sejauh 3.5 km di Sungai Api-Api, projek ini hampir siap dengan kos RM250,000 manakala fasa kedua sejauh 3.6 km baru bermula dengan kos RM250,000 juga.
“Kerja-kerja penyelenggaraan ini juga adalah kesinambungan daripada projek sama sebelum ini di Sungai Api-Api yang telah bermula sejak tahun 2020 lalu,” katanya semasa meninjau projek itu, di sini, Khamis.

