
RANTAU PANJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan tren penyeludupan dadah ke negara ini beralih ke kawasan kuala di Kedah selepas Polis Kelantan menutup kesemua 212 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini sejak Disember tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendaratan dadah kini dikesan meningkat di kawasan kuala-kuala di Kedah iaitu Kuala Kedah, Kuala Sanglang dan Kuala Jerlun.
"Saya baru diberitahu minggu lepas mengenai peningkatan aktiviti pendaratan dadah di kawasan tersebut selepas kita mengetatkan kawalan dengan menutup semua pangkalan haram di Sungai Golok.
"Walaupun tren penyeludupan dadah di Kelantan menunjukkan penurunan, ia belum dianggap signifikan dan memerlukan pemantauan berterusan," katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.
Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Menurut beliau, sebelum ini, kawasan sempadan Sungai Golok sepanjang lebih 103 kilometer menjadi antara laluan panas penyeludupan pelbagai barangan termasuk dadah dan pendatang asing tanpa izin.
Ujarnya, susulan penutupan pangkalan haram, Polis Kelantan melaksanakan kawalan ketat dengan penugasan seramai 819 anggota dari pelbagai unit, selain menguatkuasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen ke atas mana-mana individu yang memasuki negara tanpa laluan sah.
Saifuddin Nasution memberitahu, langkah tersebut terbukti berkesan apabila daripada 4,000 hingga 5,000 pergerakan harian yang menggunakan laluan haram sebelum ini, kini hanya tinggal puluhan sahaja.


