Sungai Lang bakal jadi hab industri pemprosesan perikanan Selangor - Amirudin

LocalBusiness & Finance
25 Apr 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sungai Lang bakal jadi hab industri pemprosesan perikanan Selangor - Amirudin
Amirudin (empat dari kanan) melakukan gimik pelancaran sempena Majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang, pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Zon Industri Perikanan Sungai Lang di sini bakal dibangunkan sebagai hab industri pemprosesan perikanan yang lengkap sekali gus memperkukuh rantaian nilai sektor itu di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, zon industri itu akan memberi nilai tambah kepada sektor perikanan melalui aktiviti pemprosesan yang lebih menyeluruh termasuk penghasilan produk hiliran seperti makanan berasaskan ikan.

Menurutnya, pembangunan itu tidak hanya tertumpu kepada aktiviti penyimpanan atau pembekuan hasil laut, sebaliknya melibatkan penghasilan produk kedua, ketiga dan seterusnya.

"Apabila ia melibatkan pemprosesan perikanan, ia bukan sekadar ikan dibawa masuk, disejuk beku dan dihantar, tetapi diproses menjadi pelbagai produk lain seperti keropok dan makanan berasaskan ikan.

"Ia sekali gus mewujudkan satu industri lengkap yang turut disokong sektor logistik dan pengedaran," katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang di sini pada Sabtu.

Amirudin berkata, zon itu juga berpotensi menjadi pusat pemprosesan hasil perikanan dari kawasan sekitar termasuk Sabak Bernam, Bagan Datuk dan Kuala Selangor.

"Berbeza dengan Sekinchan yang lebih kepada pusat pendaratan dan pelancongan, Sungai Lang akan menjadi hab industri pemprosesan perikanan.

"Ia melibatkan pelbagai jenis sumber termasuk ikan laut dan air tawar untuk diproses menjadi produk bernilai tinggi,” katanya.

Jelas beliau, pendekatan itu membolehkan hasil tangkapan diproses lebih dekat tanpa perlu dihantar ke lokasi lain sekali gus menjimatkan kos dan masa.

Menurutnya, pembangunan kawasan seluas kira-kira 240 hektar itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pelan induk sedang dimuktamadkan.

Tambah beliau, projek itu turut dijangka membuka peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat apabila beroperasi kelak.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan projek itu memerlukan pelaburan awal kira-kira RM100 hingga RM200 juta bagi penyediaan infrastruktur asas.

Jelas beliau, kos itu melibatkan pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik bagi fasa awal pembangunan.

Menurutnya, projek yang bakal dibangunkan itu merupakan inisiatif pihak swasta sepenuhnya yang digerakkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bersama pemaju serta pelabur berpotensi.

"Bagi komponen lain, nilainya bergantung kepada pelabur yang akan masuk dan memulakan projek," ujar beliau.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan projek itu dapat digerakkan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sekurang-kurangnya fasa pertama menunjukkan hasil.

"Kita tidak boleh terlalu cepat hingga pembangunan jadi tidak tersusun, tetapi dalam masa sama tidak boleh terlalu lambat, namun ia perlu dibuat secara berperingkat dan terancang,” katanya.