Sungai Seine Tercemar Selepas Hujan, Latihan Triatlon Dibatalkan Lagi

3 Aug 2024 • 8:56 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Sungai Seine Tercemar Selepas Hujan, Latihan Triatlon Dibatalkan Lagi

Paris — Penganjur Olimpik membuat keputusan untuk membatalkan sebahagian latihan triatlon yang telah dijadualkan di Sungai Seine pada Sabtu, lapor AFP.

Menerusi satu pengumuman, penganjur Olimpik Paris 2024 menyatakan hanya latihan larian dan berbasikal dalam acara triatlon berganti-ganti campuran dapat diteruskan. Hal ini berikutan hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan air sungai terlalu tercemar untuk atlet berenang.

“Hujan yang sangat lebat sejak dua malam lalu di hulu Paris menyebabkan kualiti air menurun,” katanya.

Sejak sepuluh tahun yang lalu, Perancis telah melaburkan sebanyak 1.4 bilion Euro untuk membersihkan sungai Seine, termasuk pembangunan kemudahan rawatan dan penyimpanan air baharu di dalam dan sekitar Paris.

Biarpun begitu, hujan lebat yang turun masih menyebabkan sistem saliran air bawah tanah dan kumbahan banjir teruk. Perkara ini menyebabkan bahan buangan yang belum dirawat terlepas ke laluan air.

Latihan triatlon dibatalkan, isu kebersihan air topik utama Olimpik Paris

Isu kebersihan air ini telah menjadi perbincangan utama di Sukan Olimpik Paris. Pencemaran yang berlaku turut memaksa penundaan acara triatlon lelaki pada Selasa lalu.

Terdahulu, setelah tahap pencemaran air diperiksa dan menepati tahap penilaian, atlet kedua-dua kategori triatlon lelaki dan wanita kembali dibenarkan berenang di Sungai Seine pada Rabu.

Keadaan cuaca ketika Sukan Olimpik Paris berlangsung dilihat berubah-ubah dengan mendadak dari gelombang panas bertukar banjir, terutamanya ketika majlis pembukaan yang ditemani hujan lebat.

Acara triatlon berganti-ganti campuran peringkat akhir setakat ini dijadualkan bakal berlangsung pada Isnin, 5 Ogos jam 2 petang mengikut waktu di Paris.

Sumber: AFP