
KUALA LUMPUR: Sungei Wang Plaza menjangka kuasa belanja pengguna akan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus pada 2023, didorong oleh industri pelancongan yang bertambah baik terutamanya selepas pembukaan semula China.
Pengurus Komunikasi Pemasaran dan Inovasi Sungei Wang Plaza, Stephen Ho berkata setakat ini pusat beli-belah itu mencatat peningkatan jualan pada julat 30 hingga 50 peratus dan menjangkakan prestasi lebih memberangsangkan dengan kadar penghunian lebih baik.
“Terdapat lebih banyak kafe, restoran dan penyewa perkhidmatan kecantikan baharu untuk menarik pelanggan. Justeru, kami yakin bahawa 2023 akan menjadi tahun yang positif untuk kami,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran media “Prosperous Year of Reunion” di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ho berkata pusat beli-belah itu turut mengambil kesempatan daripada ekonomi yang bertambah baik serta musim perayaan (Tahun Baharu Cina dan Hari Krismas).
“Kami pastinya meningkatkan tawaran penebusan sempena musim perayaan. Ini dibuktikan dengan penebusan sepenuhnya untuk Tahun Baharu Cina pada setiap hari. Oleh itu, kami yakin ia merupakan prospek positif untuk 2023,” katanya.
Sungei Wang Plaza turut mengesan kemajuan dari segi penghunian pusat beli-belah itu dan kadar perbelanjaan yang menyaksikan kedua-dua aspek tersebut kembali kepada trend peningkatan.
“Kami mempunyai beberapa penyewa baharu dan ia amat positif, tidak seperti prospek sebelum ini,” katanya.
Ho berkata meskipun berdepan banyak persaingan daripada pusat beli-belah lain, syarikat itu yakin Sungei Wang Plaza mampu bersaing kerana kedudukannya yang strategik untuk menarik pembeli-belah.
“Kami telah mengatur beberapa acara untuk mempromosikan Sungei Wang Plaza dan berpandangan bahawa pusat beli-belah ini masih relevan hari ini berikutan kedudukannya yang strategik di Bukit Bintang,” katanya.
Menurutnya pusat beli-belah itu berhasrat untuk menarik lebih ramai pelanggan terutamanya golongan remaja serta kelompok keluarga yang lebih muda pada tahun ini.
Sungei Wang Plaza bersedia untuk menjadi lebih berdaya saing di pasaran dengan menandatangani beberapa IP tempatan seperti watak kartun yang akan memperkenalkan lebih banyak kandungan baharu, khususnya pada suku pertama dan kedua dengan menyasarkan segmen-segmen tertentu.
Ia turut mengalu-alukan kehadiran lebih banyak peruncit tempatan dan asing untuk memulakan perniagaan di pusat beli-belah itu terutamanya peruncit makanan dan minuman seperti Richiamo, Kakatoo dan sebagainya untuk kekal relevan dan bersaing dengan pusat beli-belah lain.-Bernama



