Sunview peroleh kemudahan pembiayaan RM170 juta projek tenaga solar daripada Bank Rakyat

Business & FinanceEnvironment
25 Mar 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunview peroleh kemudahan pembiayaan RM170 juta projek tenaga solar daripada Bank Rakyat Image from: Sunview peroleh kemudahan pembiayaan RM170 juta projek tenaga solar daripada Bank Rakyat amree25/03/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 MacSunview Group Berhad menerima kemudahan pembiayaan berjumlah RM170 juta daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad bagi menyokong pembangunan projek tenaga solar.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut berkata kemudahan berkenaan diterima melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, SAM 2 Sdn Bhd pada 25 Mac 2026.


Kemudahan tersebut jelas kumpulan rumusan teknologi hijau itu, merangkumi pembiayaan jenis Term Financing-i 1 (RM63 juta), Term Financing-i 2 (RM62 juta) serta Bank Guarantee-i (RM45 juta).


"Sebahagian pembiayaan itu akan digunakan untuk membiayai sehingga 90% harga pemerolehan loji solar fotovolta berkapasiti 50MW di Pekan, Pahang," maklum Sunview kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sementara baki pula jelas kumpulan tersebut, bakal dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menampung segala kos pembinaan serta menyiapkan projek solat berskala besar (LSS) itu secara sepenuhnya.


Di samping itu jelas syarikat berkenaan, kemudahan jaminan bank tersebut turut akan digunakan oleh pihak pengurusan sebagai jaminan prestasi kerja-kerja mereka kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Bagi tempoh pembiayaan, kedua-dua kemudahan pembiayaan utama mempunyai tempoh sehingga 15 tahun termasuk tempoh tangguh 24 bulan, tertakluk kepada semakan tahunan oleh pihak bank.


"Dari sudut kewangan, Sunview menjangkakan kemudahan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan apabila digunakan untuk menjana hasil," tambahnya lagi.


Bagaimanapun, nisbah hutang kepada ekuiti syarikat dijangka meningkat kepada 3.54 kali berbanding 1.82 kali sebelum ini, berdasarkan penyata kewangan yang beraudit setakat 30 September 2025.


Lembaga pengarah berpandangan penerimaan kemudahan itu adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan, selain mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama terhadap transaksi berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article