SUNWAY Bhd akan membiayai komponen tunai bagi cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd menggunakan sumber sendiri, sekali gus menolak spekulasi bahawa syarikat itu akan bergantung kepada kedudukan kewangan IJM.
Pengerusi bersama Sunway, Idris Jala berkata, kebimbangan bahawa kumpulan itu akan menggunakan dana tunai IJM untuk membiayai komponen tunai sebanyak 10 peratus adalah tidak berasas.
“Kami tidak menggunakan wang IJM untuk menawarkan 10 peratus seperti yang dirujuk dalam prospektus. Kami menggunakan tunai kami sendiri untuk membuat tawaran itu,” katanya dalam satu taklimat media.
Beliau berkata, IJM memiliki kira-kira RM2.2 bilion tunai tetapi menanggung lebih RM6 bilion pinjaman, manakala Sunway mempunyai kira-kira RM6.7 bilion rizab tunai.
Menurutnya, struktur tawaran yang terdiri daripada 10 peratus tunai dan 90 peratus saham dicadangkan bagi membolehkan pemegang saham IJM terus menikmati potensi penciptaan nilai jangka panjang.
Mengulas prestasi, Idris berkata, dalam tempoh 10 tahun, Sunway mencatat pulangan keseluruhan pemegang saham sekitar 387 peratus berbanding penurunan kira-kira sembilan peratus bagi IJM.
“Jika pelaburan RM1,000 dibuat dalam Sunway pada 2016, nilainya meningkat kepada kira-kira RM4,870 menjelang 2025, manakala pelaburan sama dalam IJM susut kepada sekitar RM910,” katanya.
Beliau menambah, prestasi itu membuktikan Sunway secara konsisten mengatasi IJM dan pesaing lain dari segi penciptaan nilai.
Katanya, gabungan yang dicadangkan itu akan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing serta menjana sinergi operasi.
“Kami yakin bersama-sama, kami mampu berkembang sebagai juara yang memberi manfaat kepada pemegang saham kedua-dua pihak,” katanya.
Mengenai harga tawaran, beliau menyifatkannya sebagai adil berdasarkan sasaran harga penganalisis bagi IJM yang berada dalam lingkungan RM2.60 hingga RM3.50, dengan konsensus hampir kepada harga tawaran Sunway sebanyak RM3.15.
Menurutnya, penilaian lebih tinggi yang dikemukakan sesetengah pihak bergantung kepada andaian pelaksanaan dan keadaan pasaran semasa.
