Sunway Healthcare fail permohonan IPO di Pasaran Utama bagi biayai sebahagian pengembangan lebih RM1.6 bilion

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 5:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway Healthcare fail permohonan IPO di Pasaran Utama bagi biayai sebahagian pengembangan lebih RM1.6 bilion

image is not available

19/09/2025 - 17:09

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Sunway Healthcare Holdings Berhad memfailkan permohonan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia untuk mengumpul dana bagi membiayai pelan pengembangan yang menelan kos lebih RM1.6 bilion.

Menurut prospektus draf yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sebuah hospital baharu dengan kapasiti 401 katil di Iskandar Puteri, Johor sahaja akan menelan kos RM766 juta.

Sunway Healthcare juga sedang menaik taraf kemudahan sedia ada melalui beberapa projek yang dianggarkan hampir RM850 juta.

“Strategi kami melibatkan usaha berterusan untuk meningkatkan jumlah katil berlesen dan kadar penghunian di seluruh rangkaian hospital kami,” katanya.

Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu dibuat ketika pasaran global sedang melonjak apabila pelabur mula mengetepikan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan, selain peningkatan jumlah penyenaraian baharu di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Sunway Healthcare menyasarkan untuk memenuhi permintaan daripada populasi Malaysia yang semakin menua serta memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor pelancongan perubatan.

Sunway Healthcare menyasarkan untuk menggandakan kapasiti katilnya kepada lebih 3,400 menjelang 2032, kata syarikat itu.

Kumpulan itu juga menyasarkan kadar penghunian antara 70% hingga 80% di semua hospitalnya di seluruh negara.

IPO tersebut melibatkan tawaran institusi sebanyak 1.63 bilion saham dan tawaran runcit sebanyak 345 juta saham pada harga yang akan ditentukan kemudian.

Pemegang saham sedia ada Sunway Berhad dan dana kekayaan negara Singapura, GIC akan menerima hasil daripada penjualan saham sedia ada mereka dalam Sunway Healthcare.

GIC yang kini memiliki pegangan 16% dalam Sunway Healthcare akan dikurangkan kepada 7.5% selepas IPO.

Secara keseluruhan, penyenaraian itu menawarkan sehingga 17% daripada pegangan syarikat yang merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM298.85 juta daripada hasil sebanyak RM1.85 bilion pada tahun 2024.

Hasil daripada IPO turut diperuntukkan untuk penyelesaian awal nota sederhana Islam di bawah program sukuk wakalah bernilai RM5 bilion yang diterbitkan dalam beberapa siri. Setakat ini, Sunway Healthcare telah menjual sukuk bernilai RM1.3 bilion di bawah program tersebut.

Selebihnya akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian, dengan Sunway Healthcare melantik barisan bank pelaburan bagi IPO ini.

Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama dan penaja jamin bersama.

UBS, HSBC dan Jefferies bertindak sebagai penyelaras global bersama dan pengurus buku bersama, manakala Affin Hwang Investment Bank, CIMB Investment Bank dan RHB Investment Bank pula bertindak sebagai pengurus buku bersama serta penaja jamin bersama.

CLSA dan Mizuho Securities turut dilantik sebagai pengurus buku bersama.- DagangNews.com

standard