Sunway iLabs & Cradle lancar Program Deep Tech Ventures Lab rangsang ekosistem inovasi Malaysia

LocalTechnology
4 Aug 2025 • 2:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway iLabs & Cradle lancar Program Deep Tech Ventures Lab rangsang ekosistem inovasi Malaysia

image is not available

04/08/2025 - 14:05

Simbolik penanaman lima jenis tumbuhan ketika pelancaran Program Deep Tech Ventures Lab mewakili lima pemegang taruh iaitu syarikat pemula, universiti, korporat, kerajaan dan pelabur Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sunway Innovation Labs (Sunway iLabs), cabang inovasi milik Kumpulan Sunway dan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi pembiayaan permulaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hari ini melancarkan program baharu, Deep Tech Ventures Lab (DTVL).

Ia adalah sebuah program penciptaan bersama selama enam bulan bagi mempercepat pembangunan syarikat pemula berasaskan teknologi mendalam (deep tech) di Malaysia

Program berimpak tinggi tersebut melibatkan kerjasama strategik dengan agensi inovasi antarabangsa dari United Kingdom, Australia, Singapura dan Malaysia serta pemain industri utama dari sektor awam dan swasta.

Sebanyak 20 syarikat pemula akan dipilih daripada 69 permohonan melalui proses saringan ketat untuk menyertai program ini dengan fokus kepada penyelesaian terhadap cabaran global seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan makanan dan air, peralihan tenaga, aplikasi semikonduktor dan teknologi penyerapan karbon.

Ketua Pegawai Inovasi Kumpulan Sunway, Matt van Leeuwen berkata, DTVL dirangka untuk memperkasa inovasi teknologi mendalam tempatan agar dapat diterjemah menjadi penyelesaian komersial berskala global yang turut memberi impak sosial yang mampan.

“Deep tech ialah masa depan Malaysia. Kami bukan sahaja mahu melahirkan syarikat pemula yang berdaya maju dari segi perniagaan, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian bumi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke pula berkata, matlamat untuk membangunkan sektor teknologi mendalam memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, industri dan pelabur.

“Deep Tech Ventures Lab adalah bukti kecemerlangan hasil gabungan tenaga, potensi idea luar biasa semua pihak yang boleh direalisasikan menjadi produk dan perkhidmatan berimpak global,” katanya.

Antara rakan strategik utama dalam program ini termasuk Deep Tech Labs (UK) yang disokong Universiti Cambridge dan ARM; Investible dari Australia dan Singapura; firma penyelesaian AI dan awan CloudMile; serta pelabur seperti Gobi Partners dan The Hive SEA.

Program turut disokong oleh rangkaian universiti terkemuka tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sunway, bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi pemangkin inovasi negara.

DTVL berlangsung dari Julai hingga Disember 2025 dan menawarkan bimbingan intensif, bengkel bersama pakar industri, akses kepada pelabur dan korporat.

Program ini akan mencapai kemuncaknya pada Pre-Demo Day pada bulan September, di mana semua peserta akan membentangkan kemajuan mereka kepada kumpulan pelabur serantau, rakan korporat dan pembuat dasar yang terpilih.

Lima hingga sepuluh syarikat terpilih akan diundang ke sesi Demo Day akhir pada bulan Oktober atau awal November bagi membentangkan projek sekaligus menonjolkan potensi kepimpinan Malaysia dalam arena teknologi mendalam di peringkat antarabangsa.

Majlis pelancaran turut menyaksikan simbolik penanaman lima jenis tumbuhan mewakili lima pemegang taruh – syarikat pemula, universiti, korporat, kerajaan dan pelabur, sebagai komitmen jangka panjang membina ekosistem teknologi mendalam yang mampan.

Pelancaran ini sejajar aspirasi Malaysia untuk memperkukuh daya saing global melalui inovasi berasaskan sains, seiring ulang tahun ke-50 penubuhan Sunway Group yang terus komited sebagai pemangkin pembangunan negara berteraskan pengetahuan. - DagangNews.com

standard