Super El Nino ancam bekalan ikan, KPKM arah tambah stok

LocalEnvironment
26 Oct 2026 • 8:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Super El Nino ancam bekalan ikan, KPKM arah tambah stok

SHAH ALAM, 26 OKT: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta pemain industri perikanan meningkatkan stok ikan sejuk beku bagi menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan susulan fenomena Super El Nino.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah awal itu bertujuan memastikan bekalan ikan mencukupi sekiranya cuaca panas melampau menjejaskan hasil tangkapan nelayan, khususnya nelayan pesisir pantai, lapor Berita Harian.

Menurutnya, fenomena Super El Nino yang dijangka melanda Asia Tenggara berpotensi menyebabkan suhu mencecah 40 darjah Celsius, sekali gus mempengaruhi pergerakan ikan ke kawasan laut lebih dalam.

“Jika berlaku kekurangan ikan akibat (fenomena Super El Nino) yang dijangka Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), suhu akan cecah 40 darjah menyebabkan cuaca panas.

“Ia akan menyebabkan ikan di tepi pantai akan ke tengah laut, mungkin jumlah penangkapan nelayan kecil akan terjejas.

“Jadi kita minta LKIM dan pihak swasta yang terbabit dalam sektor perikanan supaya memperbanyakkan ikan sejuk beku.

“Jika berlaku kekurangan ikan, kita boleh lepaskan (pasarkan) ikan sejuk beku untuk mengatasi masalah bekalan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata KPKM turut mempergiat pemantauan sumber air di kawasan sawah padi dan paras empangan bagi mengurangkan risiko gangguan pengeluaran makanan.

Bagi sektor perikanan, katanya, langkah kesiapsiagaan menerusi Belanjawan 2027 merangkumi pengukuhan sistem amaran awal cuaca, penggunaan aplikasi MyFSI dan teknologi penderiaan jauh bagi pengesanan lokasi.

Kementerian turut melaksanakan Pelan Mitigasi Bencana Akuakultur serta Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030 bagi meningkatkan daya tahan industri terhadap perubahan cuaca ekstrem.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved