
SHAH ALAM, 15 NOV: Malaysia berdepan risiko jerebu sehingga Mei 2027 susulan jangkaan cuaca panas dan kering berpanjangan akibat pengaruh fenomena Super El Nino.
Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ramlan Ab Rahman berkata unjuran terkini menunjukkan keadaan itu berpotensi berlanjutan dua bulan lebih lama berbanding jangkaan awal sehingga Mac.
“Kalau ikutkan data yang ada pada kita, jerebu boleh berlaku sehingga Mei. Sebelum ini kita menjangkakan sehingga Mac, tetapi apabila data dikemas kini, ia menunjukkan keadaan itu boleh berlanjutan hingga Mei,” katanya seperti dilapor BH.
Menurut beliau, cuaca kering berpanjangan boleh menyebabkan kawasan mudah terbakar, khususnya tanah gambut, kehilangan kelembapan sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
Beliau berkata risiko jerebu turut bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor pencetus kebakaran, terutama jika hujan tidak mencukupi antara Februari hingga Mei tahun depan.
Ramlan menjelaskan fenomena Super El Nino yang mula memasuki kategori berkenaan pada November ini dijangka mempengaruhi taburan hujan negara sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, MTL mempunyai dua fasa, iaitu fasa lembap sehingga awal Januari 2027, diikuti fasa kering yang berpotensi menjadi lebih ekstrem akibat pengaruh fenomena berkenaan.
“Apabila berlaku Super El Nino, cuaca kering boleh menjadi lebih ekstrem kerana kemasukan lembapan ke rantau kita berkurangan, sekali gus menyebabkan taburan hujan menurun,” katanya.

Risiko kemarau, bekalan air terjejas
Ramlan berkata, berdasarkan rekod dua episod Super El Nino pada 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016, taburan hujan di Semenanjung Malaysia pernah berkurangan sehingga 30 peratus, manakala Sabah mencatatkan pengurangan sehingga 45 peratus.
Menurut beliau, keadaan itu turut berpotensi menyebabkan gelombang haba, khususnya di Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang, selain kemungkinan memberi kesan kepada negeri lain.
Katanya, kekurangan hujan berpanjangan juga boleh meningkatkan risiko kemarau dan memberi tekanan kepada bekalan air domestik, industri serta sektor pertanian.
"Keadaan itu turut berpotensi menjejaskan paras takungan empangan, terutama di negeri Pantai Timur yang bergantung kepada hujan MTL sebagai antara sumber utama bekalan air," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pengaruh El Nino berpotensi mengurangkan episod hujan lebat sepanjang MTL kali ini kepada antara tiga hingga lima episod, berbanding kebiasaan sehingga lapan episod.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko banjir, khususnya Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah, perlu terus berwaspada kerana hujan lebat masih boleh berlaku.
MetMalaysia juga sudah menyelaras persediaan bersama agensi pengurusan bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi memastikan maklumat ramalan serta amaran cuaca disampaikan kepada agensi teknikal dan pasukan penyelamat.



