Super El Nino: Malaysia berisiko alami cuaca lebih panas

LocalEnvironment
27 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Super El Nino: Malaysia berisiko alami cuaca lebih panas
Fenomena El Nino ketika ini berada pada fasa kuat dan dijangka mencapai tahap sangat kuat atau Super El Nino pada penghujung tahun ini hingga tahun depan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi mengalami cuaca lebih panas dan kering pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, khususnya antara penghujung Januari hingga Mac tahun depan susulan jangkaan fenomena Super El Nino yang boleh mengurangkan taburan hujan.

Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Makrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba dan kemarau terutama apabila taburan hujan berkurangan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, fenomena El Nino ketika ini berada pada fasa kuat dan dijangka mencapai tahap sangat kuat atau Super El Nino pada penghujung tahun ini hingga tahun depan.

"Dalam keadaan hujan yang berkurangan itu, kebiasaannya mula berlaku cuaca panas atau gelombang haba, selain isu kemarau disebabkan ketiadaan air akibat kurang hujan,” katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 15 terbitan Bernama TV hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, fasa awal MTL 2026/2027 yang bermula hari ini dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, terutama antara November ini hingga Januari 2027.

Katanya, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko banjir khususnya di negeri Pantai Timur termasuk bahagian timur Johor.

"Risiko hujan lebat pada awal monsun perlu diberi perhatian oleh penduduk di kawasan berisiko banjir, manakala keadaan lebih kering pada penghujung monsun pula memerlukan persediaan menghadapi kemungkinan cuaca panas dan kekurangan air,” katanya.

Makrun Fadzli berkata, MetMalaysia memantau perkembangan cuaca selama 24 jam dan akan mengeluarkan amaran hujan lebat apabila keadaan memerlukan bagi membolehkan agensi berkaitan serta orang ramai mengambil langkah persediaan sewajarnya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihat supaya sentiasa merujuk maklumat dan amaran cuaca terkini daripada sumber rasmi, membuat persediaan awal menghadapi banjir dan mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk arahan berpindah jika diperlukan.

Katanya, MetMalaysia juga mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka ketika cuaca kering bagi mengurangkan risiko jerebu tempatan. - Bernama

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved