
Setelah 12 tahun menanti, akhirnya adiwira paling popular dunia kembali ke layar perak. Superman versi terkini hasil sentuhan pengarah berkaliber James Gunn tampil berbeza berbanding siri sebelumnya. Jika sebelum ini watak Superman bersifat serius, berat dan lebih dark tetapi ditangan James Gunn ianya berwajah lebih ceria, ringan, berselang komedi serta beremosi.
Sepintas lalu, penonton pasti akan merasakan bahawa filem ini mirip kepada formula Marvel Cinematic Universe (MCU) berbanding DC Universe dan lebih dari itu ia mempunyai pengaruh yang kuat dari filem Guardian of The Galaxy.
Seperti filem sebelumnya, kisah bermula kira-kira tiga puluh tahun yang lalu, ketika Jor-El dan Lara Lor-Van menghantar anak lelaki mereka Kal-El ke Bumi untuk melarikan diri dari planet asal mereka, Krypton. Bayi tersebut telah dibesarkan sebagai Clark Kent oleh ibu bapa angkatnya Jonathan dan Martha Kent di Smallville, Kansas.
Setelah dewasa, Clark Kent telah berhijrah ke bandar dan bekerja sebagai wartawan Daily Planet di Metropolis. Di sini dia bekerja bersama Jimmy Olsen dan Lois Lane yang kemudian menjadi kekasihnya. Pada masa yang sama dia juga berjaya mengekalkan identitinya tanpa diketahui oleh sesiapa pun.


Seperti biasa musuhnya ketatnya Lex Luthor kini mempunyai satu ciptaan terbaru dikenali sebagai Hammer, satu figura misteri yang sungguh kuat setanding Superman. Lex Luthor berperanan memporak perandakan pelbagai negara dan pada masa yang sama cuba menjadi hero kepada kerajaan Amerika. Dia juga bersekongkol dengan presiden sebuah negara Boravia yang sedang berperang dengan negara jiranya Jarhanpur.
Ketika konflik sedang memuncak, Superman telah bertarung dengan Hammer di Boravia dan tewas. Untuk memulihkan dirinya semula, dia pergi ke Fortress of Solitude di Antartika. Tempat ini merupakan satu kubu rahsia yang diperbuat daripada ais dan kristal. Disini dia di bantu oleh robot-robot yang terlatih bagi memulihkan tenaganya menggunkan kaedah radiasi solar. Tetapi kemudian tempat tersebut telah berjaya ditemui oleh konco Lex Luthor dan mereka semua telah memusnahkan fasiliti tempat tersebut.
Pada masa yang sama Superman tidak berseorangan kerana dia dibantu oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai Justice Gang. Mereka terdiri dari Green Lantern, Mister Terrific dan Hawkgirl. Superman dan Justice Gang sentiasa bergabung untuk memusnahkan musuh-musuh mereka yang semuanya didalangi oleh Lex Luthor.
Tetapi akhirnya Superman berjaya juga ditawan oleh Lex Luthor dan kemudianya dipenjarakan disebuah tempat dikenali sebagai Pocket Universe. Tempat ini adalah satu alam di dimensi lain yang hanya boleh dimasuki melalui portal yang dibina oleh Lex Luthor. Tempat rahsia ini adalah satu ruang penjara yang digunakan oleh Lex Luthor untuk menempakan semua musuh-musuhnya. Bagaimanakah kesudahanya?
Secara keseluruhanya filem ini telah membuka satu era baru dibawah kendalian James Gunn sebagai CEO DC Universe. Melalui filem ini, dapat diramal bahawa filem-filem yang akan datang juga tidak lari dari konsep sebegini. Imej adiwira lama DC yang gelap telah terpadam dan kini imej baru akan menghidupkan kembali harapan peminat untuk melihat superhero yang lebih segar dan kontemporari.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
