
Suplemen bukan pil ajaib untuk menjadikan anak lebih fokus, bijak atau cemerlang dalam pelajaran, sebaliknya keupayaan mereka untuk belajar dan memberi tumpuan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk pemakanan, tidur mencukupi, aktiviti fizikal, kesihatan mental serta persekitaran pembelajaran yang baik.
Dalam dunia yang semakin kompetitif, tidak hairan jika ibu bapa sanggup melakukan pelbagai cara bagi membantu anak mencapai prestasi akademik terbaik.
Antara pilihan yang semakin mendapat perhatian ialah suplemen yang didakwa mampu meningkatkan daya ingatan, fokus dan kecerdasan kanak-kanak.
Produk dalam bentuk sirap, pil atau serbuk kini mudah ditemui dan sering dipasarkan dengan pelbagai istilah yang kedengaran meyakinkan seperti brain booster, ‘formula otak’ atau produk yang didakwa mampu membantu meningkatkan IQ.
Namun, ibu bapa perlu berhati-hati dan tidak mudah menganggap pengambilan suplemen sebagai jalan pintas untuk menjadikan anak lebih bijak.
Pakar Perunding Pediatrik Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Khairul Zaman Omar berkata, perkembangan kognitif kanak-kanak merupakan satu proses kompleks dan tidak bergantung kepada satu nutrien atau satu jenis suplemen sahaja.
Katanya, otak kanak-kanak sememangnya memerlukan pelbagai nutrien bagi menyokong perkembangan dan fungsi normalnya.
“Antaranya termasuk asid lemak Omega-3 seperti DHA, vitamin B, vitamin D, zat besi, zink, kolina dan antioksidan tertentu.
“Namun, kebanyakan nutrien berkenaan boleh diperoleh menerusi makanan semula jadi yang mudah didapati dalam kehidupan seharian.
“Ikan, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang antara sumber makanan yang boleh menyumbang kepada pengambilan pelbagai nutrien diperlukan tubuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Omega-3, misalnya, boleh diperoleh daripada ikan seperti salmon dan sardin, manakala kolina antara lain terdapat dalam kuning telur.
Vitamin B pula boleh diperoleh daripada sayuran berdaun hijau, makanan laut dan ayam, sementara zat besi serta zink boleh didapati daripada ikan, daging dan beberapa jenis sayur-sayuran.
Justeru, ibu bapa tidak semestinya perlu bergantung kepada produk yang dipasarkan khusus sebagai brain supplement bagi menyokong perkembangan otak anak.

PEMAKANAN MENCUKUPI LEBIH PENTING
Dr. Khairul Zaman berkata, apa yang lebih penting ialah memastikan anak mendapat pemakanan mencukupi dan seimbang secara konsisten.
Katanya, terdapat perbezaan besar antara memastikan kanak-kanak mendapat nutrien yang mencukupi dengan dakwaan pengambilan nutrien dalam bentuk suplemen secara automatik akan menjadikan mereka lebih pintar.
“Ibu bapa juga tidak seharusnya beranggapan semakin banyak produk atau suplemen diberikan kepada anak, semakin baik prestasi pembelajaran mereka.
“Suplemen mungkin mengandungi sebahagian nutrien sama seperti dalam makanan, namun pengambilannya tidak sepatutnya menjadi pengganti kepada pemakanan seimbang,” katanya.
Dr. Khairul Zaman menjelaskan, jika ibu bapa bimbang anak tidak mendapat nutrien tertentu atau mempunyai keperluan pemakanan khusus, perkara itu wajar dinilai secara lebih terperinci dan bukan berdasarkan iklan atau testimoni pengguna semata-mata.
Pendekatan sedemikian penting kerana tidak semua kanak-kanak memerlukan suplemen untuk meningkatkan prestasi pembelajaran.
Sebaliknya, pemakanan berkhasiat dan seimbang perlu dijadikan amalan harian, bukannya hanya diberikan apabila musim peperiksaan semakin hampir atau apabila prestasi akademik anak mula merosot.
PEKA DENGAN PRODUK DITAWARKAN
Dr. Khairul Zaman berkata, ibu bapa perlu lebih peka apabila melihat produk yang mendakwa mampu meningkatkan daya ingatan dan fokus.
Hal ini kerana, kewujudan sesuatu bahan dalam produk tidak semestinya bermaksud produk itu akan memberikan kesan seperti yang dijanjikan dalam iklan.
Katanya, sebagai contoh, Omega-3, vitamin B, vitamin D, zat besi, zink dan kolina memang mempunyai kaitan dengan fungsi serta perkembangan otak, tetapi kepentingan sesuatu nutrien kepada
tubuh tidak bermakna pengambilan suplemen dalam jumlah lebih tinggi akan menghasilkan peningkatan kecerdasan atau fokus yang lebih tinggi.
Perkara sama perlu diberi perhatian ketika menilai dakwaan yang dibuat menerusi media sosial.
“Testimoni pengguna bukan bukti saintifik sesuatu produk benar-benar menyebabkan perubahan terhadap fokus, ingatan atau prestasi pembelajaran kanak-kanak.
“Seorang kanak-kanak mungkin kelihatan lebih fokus selepas mengambil sesuatu produk, namun perubahan itu boleh berlaku serentak dengan faktor lain seperti tidur yang lebih baik, pengurangan penggunaan gajet, perubahan corak pemakanan atau sokongan pembelajaran lebih baik,” katanya.
Oleh itu, ibu bapa perlu membezakan antara bukti saintifik dengan pengalaman individu.
Jangan hanya melihat gambar sebelum dan selepas, komen pengguna atau testimoni di media sosial ketika membuat keputusan berkaitan kesihatan anak.
Sebaliknya, perhatikan kandungan produk, dos yang disyorkan serta asas saintifik yang menyokong sesuatu dakwaan.
Istilah seperti brain booster, ‘tingkatkan IQ’ atau ‘jamin lebih fokus’ mungkin kedengaran menarik, tetapi tidak sepatutnya diterima sebagai bukti keberkesanan secara automatik.

ELAK PENGAMBILAN BERLEBIHAN
Dr. Khairul Zaman berkata, pengambilan suplemen secara berlebihan juga perlu dielakkan.
Menurutnya, ibu bapa tidak seharusnya mengambil pendekatan lebih banyak nutrien bermakna lebih banyak manfaat kepada otak.
Setiap suplemen perlu dilihat berdasarkan kandungan, keperluan dan kesesuaiannya untuk kanak-kanak berkenaan.
“Perhatian juga perlu diberikan sekiranya anak mengambil beberapa produk berbeza pada masa sama kerana mungkin berlaku pertindihan kandungan nutrien. Produk yang kelihatan berbeza mungkin sebenarnya mengandungi vitamin atau mineral sama,” katanya.
FAKTOR PENGARUHI KEJAYAAN
Namun, persoalan yang lebih besar ialah apakah sebenarnya faktor yang mempengaruhi keupayaan anak untuk fokus dan belajar?
Jawapannya bukan sekadar pada kandungan pil atau sirap yang diberikan.
Dr. Khairul Zaman berkata, kesihatan mental, misalnya, memainkan peranan penting kerana kanak-kanak yang berdepan tekanan, kebimbangan atau masalah emosi mungkin menghadapi kesukaran memberikan tumpuan walaupun mendapat pemakanan baik.
Ujarnya, aktiviti fizikal juga tidak boleh dipandang ringan.
“Kanak-kanak perlu diberikan ruang untuk bergerak, bersukan dan menjalani kehidupan aktif, bukannya menghabiskan sebahagian besar masa lapang dengan aktiviti sedentari.
“Tidur yang mencukupi dan berkualiti merupakan satu lagi asas penting yang kadangkala dipandang ringan,” katanya.
Kanak-kanak yang tidak mendapat tidur mencukupi mungkin sukar memberikan perhatian dan mengekalkan tumpuan ketika belajar selain penggunaan gajet juga perlu diberi perhatian.
Ibu bapa perlu menetapkan had yang sesuai supaya telefon bimbit dan peranti digital tidak mengambil alih masa tidur, aktiviti fizikal, interaksi keluarga serta waktu pembelajaran anak.
Justeru, jika anak sukar memberi tumpuan secara berterusan, ibu bapa tidak seharusnya terus menganggap masalah itu berpunca daripada kekurangan suplemen.
Sebaliknya, lihat terlebih dahulu rutin tidur, corak pemakanan, tahap aktiviti fizikal, penggunaan gajet, kesihatan mental dan persekitaran pembelajaran mereka.
Menurut Dr. Khairul Zaman, prestasi akademik bukan sekadar soal mempunyai ‘otak pintar’, tetapi hasil daripada persekitaran yang menyokong perkembangan anak secara menyeluruh.
“Suplemen, jika diperlukan atas sebab tertentu, perlu dilihat berdasarkan keperluan anak dan bukan semata-mata kerana dakwaan mampu meningkatkan prestasi akademik.
“Ibu bapa juga disaran mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya terdapat kebimbangan berkaitan keperluan nutrisi anak,” katanya.
Pemakanan baik, tidur mencukupi, aktiviti fizikal, kesihatan mental optimum serta penggunaan gajet secara terkawal merupakan asas yang jauh lebih penting dalam membantu anak berkembang, belajar dan mencapai potensi mereka.
Ringkasnya, tiada satu pil yang mampu menggantikan asas kehidupan sihat.
Sebelum membeli suplemen yang didakwa mampu menjadikan anak lebih fokus atau bijak, ibu bapa wajar bertanya satu soalan mudah: adakah anak sebenarnya sudah mendapat apa yang paling asas untuk berkembang dengan baik?
Jika jawapannya belum, mungkin sudah tiba masanya perhatian diberikan kepada tidur, pemakanan, aktiviti fizikal, emosi dan rutin harian anak terlebih dahulu.
The post Suplemen bukan pil ajaib jadikan anak bijak appeared first on Utusan Malaysia.

