Supreme Consolidated beli tanah berharga RM5.6 juta di Kuching bagi pembinaan gudang, ruang simpanan sejuk beku

07/05/2025 - 17:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Mei - Supreme Consolidated Resources Bhd menerusi Supreme Cold Storage Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Globalmas Sdn Bhd bagi pengambilalihan tanah seluas 14,690 meter persegi bersama kilang berkembar serta pejabat dua tingkat berharga RM5.6 juta di Jalan Demal Laut 2, Kuching, Sarawak.
Kumpulan itu berkata, pembelian tanah itu bertujuan untuk membina kemudahan pergudangan dan penyimpanan sejuk baharu yang akan berfungsi sebagai pusat pengedaran tambahan di Sarawak.
Katanya, kemudahan pergudangan dan penyimpanan sejuk semasa beroperasi pada kapasiti hampir penuh, menyebabkan keperluan untuk menyewa ruang penyimpanan tambahan sekali-sekala untuk menyimpan produk meningkatkan perbelanjaan selain mengurangkan kecekapan operasi.
"Kemudahan pergudangan baharu merangkumi kawasan baharu, kemudahan penyimpanan sejuk (seperti peti sejuk beku dan bilik penyejuk untuk menyimpan makanan), pejabat dan ruang pemunggahan.
"Selain itu, kemudahan pergudangan baharu dengan jumlah kawasan binaan yang diperluaskan dan ruang palet akan membolehkan kumpulan mencatatkan pertumbuhan pada masa hadapan serta meningkatkan kecekapan operasi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, pengambilalihan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat.
Pengambilalihan itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan bertulis daripada Pengarah Tanah dan Ukur.
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijangka siap pada suku keempat 2025," katanya.- DagangNews.com
standard

