Supreme Consolidated rancang labur RM13 juta kembangkan operasi F&B

Business & Finance
22 Jan 2024 • 3:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Supreme Consolidated rancang labur RM13 juta kembangkan operasi F&B

diyana

22/01/2024 - 15:02

KUALA LUMPUR 22 Jan - Supreme Consolidated Resources Bhd merancang untuk melabur RM13 juta dalam kemudahan pergudangan dan penyimpanan sejuk baharu bagi mengembangkan perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Pengerusi Supreme, Datuk Ibrahim Baki berkata, kumpulan itu sedang berusaha mengenal pasti tanah perindustrian bersesuaian di Taman Perindustrian Demak Laut bagi kemudahan baharu berkeluasan 2,000 meter persegi tersebut.

"Kemudahan pergudangan dan penyimpanan sejuk semasa kami beroperasi pada kapasiti hampir penuh, menyebabkan keperluan untuk menyewa ruang penyimpanan tambahan bagi menyimpan produk, yang meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan kecekapan operasi," jelas beliau, seperti dilaporkan oleh The Star.

Kemudahan baharu itu akan merangkumi kawasan pergudangan, penyimpanan sejuk seperti peti sejuk beku dan bilik penyejuk untuk menyimpan makanan sejuk beku dan sejuk; pejabat, kawasan pemunggahan serta dapur serba lengkap, yang akan digunakan bagi aktiviti pemasaran seperti demonstrasi memasak untuk pelanggannya.

image is not available
Datuk Ibrahim Baki

Ibrahim berkata demikian dalam pekeliling kepada pemegang saham berhubung cadangan pemindahan Supreme ke Pasaran ACE daripada Pasaran LEAP dan cadangan terbitan bonus 240 juta saham biasa baharu berdasarkan dua saham bonus untuk satu saham sedia ada.

Pemegang saham akan mengundi cadangan pemindahan penyenaraian dan terbitan bonus pada mensyuarat agung luar biasa (EGM) Supreme pada 31 Januari 2024.

Selepas selesai cadangan terbitan bonus, Ibrahim berkata kumpulan itu akan melaksanakan cadangan terbitan 70 juta saham yang dijangka mengumpul RM17.5 juta berdasarkan harga indikatif 25 sen sesaham.

Daripada 70 juta saham baharu yang akan diterbitkan, 53.75 juta akan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, 10.75 juta saham kepada pengarah dan pekerja berkelayakan serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan 5.5 juta saham kepada orang ramai.

Ibrahim juga berkata kumpulan itu bercadang untuk memperuntukkan RM11 juta daripada hasil terbitan saham baharu tersebut bagi membiayai pembinaan kemudahan gudang dan penyimpanan sejuk baharu dan RM4 juta untuk keperluan modal kerja.

Baki RM2.5 juta akan digunakan untuk membayar anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan pemindahan penyenaraian, yang dijangka siap pada suku keempat 2024.

Memandangkan kemudahan pergudangan dan pengedaran Supreme kini berada di Kuching dan Miri, Ibrahim berkata kumpulan itu merancang untuk mengembangkan kerja pengedarannya ke bandar utama lain di Sarawak.

“Sebagai sebahagian daripada pelan pembesaran, kumpulan itu berhasrat menambah bilangan rangkaian pengedaran di daerah terpilih di Sarawak bagi meningkatkan kecekapan pengedaran dan pada masa sama, mengurangkan kebergantungan kepada pengedar.

“Kumpulan juga sedang meneroka kemungkinan meluaskan rangkaian pengedarannya ke Sibu dan Bintulu. Peluasan itu akan dicapai melalui pengambilalihan pengedar yang sesuai di kedua-dua daerah atau dengan mewujudkan rangkaian pengedaran di daerah tersebut,” tambahnya.

Supreme telah mengadakan perbincangan dengan beberapa entiti untuk pengambilalihan rangkaian pengedaran di Sibu dan Bintulu, katanya.

Ibrahim berkata kumpulan itu juga berhasrat mengembangkan rangkaian produknya dengan mendapatkan hak agensi baharu.

“Ini akan melibatkan pemerolehan hak untuk produk tempatan dan luar negara yang melengkapkan tawaran semasa.

“Ia termasuk mendapatkan hak agensi untuk produk alternatif seperti mentega campuran, yang berharga lebih rendah daripada mentega, bagi menyediakan pelanggan pilihan tambahan dengan harga berbeza.

“Satu contoh kejayaan termasuk mendapatkan hak untuk mengedar produk F&B kering di Sri Aman di selatan Sarawak dan kawasan sekitarnya, yang meningkatkan jenis produk F&B kering yang kami tawarkan pada masa ini,” katanya. - DagangNews.com

View Original Article