Surah al-Muzammil panduan tangani keletihan melampau

Health & Fitness
13 May 2026 • 2:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Surah al-Muzammil panduan tangani keletihan melampau
Agus (tengah) pada Program BURNOUT! Life Balancing and Mental Health (Panduan Daripada Surah al-Muzammil) di Dewan Serbaguna PPAS, Shah Alam pada Rabu.
Image from: Surah al-Muzammil panduan tangani keletihan melampau
Mastura

SHAH ALAM – Surah al-Muzammil dipilih sebagai panduan dalam menangani masalah keletihan melampau kerana membawa mesej kebangkitan dan semangat untuk meneruskan kehidupan meskipun berdepan tekanan emosi serta mental.

Penasihat Quran Medis, PT Medis PT Cordoba Internasional Indonesia, Dr Agus Rahmadi berkata, surah itu memberi motivasi kepada individu yang lemah semangat supaya kembali bangkit dan menjalani kehidupan dengan lebih positif.

Menurutnya, perkataan al-Muzammil sendiri membawa maksud bangkit daripada tidur atau keadaan lemah untuk kembali kuat menghadapi cabaran hidup.

"Selama ini pesakit merasakan jiwa mereka lemah, tetapi dengan mengamalkan Surah al-Muzammil, mereka dimotivasi untuk bangkit dan kembali bersemangat menjalani kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas program BURNOUT! Life Balancing and Mental Health (Panduan Daripada Surah al-Muzammil) di Dewan Serbaguna, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini pada Rabu.

Agus berkata, antara pengajaran utama daripada surah itu ialah manusia tidak boleh mudah menyerah kalah dalam kehidupan.

"Kita tidak boleh menyerah dan terus tertidur kerana hidup di dunia ini adalah perjuangan serta menjadi bekalan untuk akhirat nanti.

"Surah al-Muzammil mengajak kita bangkit daripada keadaan pasif untuk bergerak dan menjadi lebih bersemangat," jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Agus menjelaskan pendekatan spiritual mampu membantu keseimbangan emosi dan mental kerana keadaan jiwa seseorang memberi kesan langsung terhadap fizikal tubuh badan.

Katanya, dalam dunia perubatan terdapat istilah psikosomatik iaitu keadaan psikologi yang memberi impak kepada kesihatan fizikal seseorang.

"Contohnya, apabila seseorang berasa takut, jantung akan berdebar dan badan berpeluh yang menunjukkan keadaan emosi dan mental mempengaruhi fizikal.

"Apabila jiwa berada dalam keadaan baik, seseorang akan berfikiran positif dan ia memberi kesan baik kepada kesihatan tubuh," tambah beliau.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, majikan dan institusi disaran menyediakan suasana kerja lebih fleksibel serta mesra keluarga bagi membantu pekerja menangani isu keletihan melampau dan tekanan emosi.

**media[3519407]**

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana ramai pekerja termasuk dirinya sendiri berdepan tekanan kerja yang tinggi sehingga boleh menyebabkan keletihan melampau.

"Saya sendiri dan staf kadangkala mengalami keletihan melampau kerana beban kerja yang banyak.

"Tetapi apa yang dikupas dalam program ini menyedarkan kita bahawa panduan kehidupan sebenarnya sudah ada dalam al-Quran," ujar beliau.

Katanya, konsep rawatan secara semula jadi dan sederhana yang diketengahkan memberi perspektif baharu kepada masyarakat mengenai hubungan emosi, spiritual dan fizikal.

"Kadang-kadang sakit itu adalah cara ALLAH mengingatkan kita untuk kembali kepada-Nya.

"Saya sendiri mengamalkan bacaan surah tertentu seperti Surah Yasin, Surah Ar-Rahman dan Surah al-Baqarah serta merasakan kesannya terhadap ketenangan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Mastura berkata, majikan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan pekerja khususnya mereka yang mempunyai anak kecil, ibu bapa uzur atau anak istimewa.

Katanya, budaya kerja yang terlalu rigid perlu diubah dengan memberi ruang fleksibiliti kepada pekerja demi menjaga keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.

"Kita perlu mempunyai sikap saling membantu dan menyokong antara satu sama lain supaya pekerja berasa dihargai," jelas beliau.

Ujar beliau, pihaknya juga mengamalkan pendekatan lebih fleksibel di PPAS termasuk membenarkan staf yang mempunyai komitmen keluarga pulang lebih awal jika perlu.

Menurutnya, pendekatan itu penting supaya institusi benar-benar mengamalkan nilai yang sering diperkatakan kepada masyarakat.

"Kita tidak boleh bercakap mengenai kepentingan keluarga tetapi dalam masa sama membebankan staf sehingga lewat malam setiap hari.

"Pemimpin juga perlu kembali kepada nilai al-Quran dalam mengurus organisasi dan bukan hanya mengejar kepentingan diri," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, pendekatan Quranic Wellness mampu membantu masyarakat ‘reset’ gaya hidup ke arah kehidupan lebih sihat dan seimbang dari sudut fizikal, emosi serta spiritual.

Katanya, usaha itu dimulakan menerusi siri Wellness Quranic yang menekankan perubahan pola pemakanan serta gaya hidup berpandukan al-Quran dan hadis.

Ujar beliau, inisiatif itu sebenarnya sudah dimulakan sejak dua tahun lalu, namun kini diperkukuhkan menerusi kerjasama bersama pakar Quran Medis dari Indonesia.

"Kita berharap melalui Quran Medis ini dapat diwujudkan kerjasama antara pakar al-Quran dan doktor dalam bidang berkaitan," tambah beliau.

Marhaini berkata, kempen kesedaran mengenai kesejahteraan diri itu akan diteruskan secara berperingkat termasuk menerusi program susulan yang sedang dirancang bersama Agus.

Menurut beliau, pihaknya turut merancang pelaksanaan program selama tiga bulan bagi melatih kumpulan pertama berkaitan kaedah perubatan dan kesejahteraan berasaskan pendekatan Nabawi.

"Sebelum ini, di World Quran Convention, kita sudah melancarkan inisiatif self wellness dan program hari ini adalah kesinambungan kepada usaha itu.

"Kita berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak program pada masa depan,” katanya.

Marhaini menjelaskan, pelbagai pengisian diatur sepanjang program berlangsung termasuk sesi ceramah, podcast dan forum terbuka kepada orang ramai secara fizikal serta dalam talian.

"Orang ramai yang tidak berpeluang hadir secara fizikal masih boleh mengikuti program ini menerusi platform dalam talian yang disediakan," kata beliau.

View Original Article